Beijing catat 22 kes baharu, 2.3 juta sample diambil
BEIJING: Ibu negara China melaporkan 22 kes baharu Covid-19 kelmarin, selepas usaha melakukan ujian besar-besaran yang mengumpulkan lebih daripada dua juta sampel bagi mengesan wabak itu.
 
Kluster terbaharu di Beijing menimbulkan ketakutan akan kemunculan semula virus di China, yang sebahagian besarnya berjaya dikawal dalam beberapa bulan terakhir.
 
Puluhan komuniti ditutup di kota ini untuk membendung penularan, dengan penduduk diberitahu supaya mengelak perjalanan tidak penting serta sekolah diarah tutup.
 
Jangkitan baharu itu turut melibatkan seorang jururawat, iaitu petugas kesihatan pertama yang diuji positif sejak kemunculan virus itu seminggu yang lalu.
 
Lebih daripada 220 orang dikesan positif dalam kluster terbaharu tersebut. Agensi berita Xinhua berkata, pihak berkuasa membina lebih daripada 2,000 tapak pengujian di seluruh bandar yang memperolehi 2.3 juta sampel.
 
Wabak terbaharu itu mula dikesan di sebuah pasar borong makanan Xinfadi, yang menimbulkan kebimbangan keselamatan makanan di bandar tersebut.
 
Virus itu turut dikesan pada papan pemotong yang digunakan untuk salmon yang diimport.
 
Pada Jumaat, pegawai Beijing menasihatkan warganya supaya membuang makanan laut beku serta produk kekacang yang dibeli dari pasar tersebut.
 
Pegawai turut melancarkan kempen di seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan makanan import. Pekerja restoran, pasar raya, pasar, penghantar kurier dan makanan sedang diuji untuk virus tersebut, kata Xinhua.
 
Pasar Xinfadi membekalkan lebih daripada 70 peratus hasil segar Beijing dan kini ditutup. –AFP