Beijing hampir tutup pintu kepada orang luar

BEIJING: Beijing hampir-hampir membina tembok pemisahnya sendiri dari dunia luar dengan langkah drastik untuk melindungi kedudukan kuasa China terhadap ancaman gelombang kedua jangkitan virus Covid-19 dari luar rantau lain.

Setelah sebahagian besar wabak Covid-19 dapat dikawal, China mengharamkan kemasukan orang dari luar negara ke negara itu walaupun kebanyakan mereka adalah rakyat China, ekoran kebimbangan pihak berkuasa dengan peningkatan kes diimport dari luar negara.

Apa pun, Beijing mengambi langkah ke hadapan, mengenakan kuarantin ketat selama 14 hari ke atas orang yang tiba dari bahagian lain di China. Ia dilaksanakan tanpa mengira sama ada mereka diuji negatif Covid-19, langkah yang tidak diperlukan di bandar lain. Bejing, sudah pasti tidak sama seperti mana-mana bandar lain di China.

Parti Komunis yang memerintah negara itu menunda persidangan kongres sekali setahun yang sepatutnya berlangsung pada Mac. Pakar berkata ia mungkin mahu memastikan ribuan perwakilan yang mengambil bahagian tidak berisiko dijangkiti sebelum tarikh baru ditetapkan.

“Memperkukuh pengurusan terhadap orang yang kembali ke Beijing adalah keutamaan paling kritikal. Jika tidak, mustahil untuk mewujudkan keadaan tepat untuk dua sesi persidangan kongres bermula,” kata Ma Liang, profesor Pengajian Pentadbiran dan Dasar Awam di Universiti Renmin.

Langkah itu akhirnya bertujuan melindungi golongan elit Parti Komunis daripada virus maut itu, kata Alfred Wu, profesor bersekutu dari Pengajian Dasar Awam di Universiti Lee Kwan Yew Singapura. “Pada masa ini, kerajaan pusat dan kepimpinan teras sangat dilindungi, jadi rakyat biasa perlu menanggung akibatnya,” katanya kepada AFP.

Beijing mengenakan kuarantin wajib 14 hari bagi semua pelajar yang kembali, yang mesti diuji negatif untuk menghadiri sekolah. Semua tetamu hotel juga perlu diuji negatif dalam tempoh tujuh hari sebelum penginapan mereka.

Langkah tersebut menghalang sebahagian orang untuk kembali ke Beijing. Mereka yang datang dari kawasan lain yang dilabelkan sebagai “berisiko tinggi” juga tidak dibenarkan memasuki Beijing, walaupun sekatan itu hanya tertakluk kepada orang yang datang dari kota Wuhan dan wilayah Hubei. – AFP

Suara Sarawak