Beijing jalankan ujian besar-besaran Covid-19

BEIJING: Beijing menjalankan ujian besar-besaran bagi mengesan jangkitan Covid-19 selepas penularan baharu di bandar itu, yang mencetuskan beberapa amaran perjalanan di seluruh negara, ketika di tengah kebimbangan virus itu melanda semula.

Penularan virus membawa maut itu secara umumnya berjaya dikawal di China menerusi langkah penguncian ketat yang dikuatkuasakan pada awal tahun ini dan sudah ditarik balik semula.

Namun, satu kluser baharu yang dikaitkan dengan sebuah pasar borong di ibu kota negara itu mencetuskan kebimbangan dan meningkatkan kemungkinan langkah sekatan dikuatkuasakan kembali. Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) melaporkan 57 kes baharu Covid-19 pada Ahad.

Daripada jumlah itu, 36 adalah kes jangkitan tempatan di Beijing, semuanya mempunyai kaitan dengan pasar Xinfadi. Lagi dua kes jangkitan tempatan dikesan di wilayah Liaoning, timur laut China dan mempunyai kontak rapat dengan kes jangkitan di Beijing.

Sementara, 19 kes jangkitan yang lain pula melibatkan warga China yang baru pulang dari luar negara. Di Beijing, langkah penguncian dikuatkuasakan terhadap sebahagian kecil bandar itu termasuk 11 kawasan perumahan berdekatan pasar itu yang membekalkan kebanyakan produk makanan segar bandar tersebut.

Pegawai pada Ahad berkata, mereka bercadang menjalankan ujian virus itu ke atas 46,000 penduduk yang menetap di sekitar kawasan pasar itu dan sudah mendirikan 24 pusat ujian.

Setakat ini, setiap pekerja di pasar Xinfadi menjalani ujian tersebut. Manakala 10,881 orang sudah diuji di kawasan itu dengan lapan kes lagi didiagnosis pada Ahad. Namun mereka tidak termasuk dalam jumlah pengiraan NHC pada hari sebelumnya yang meliputi tempoh 24 jam. –AFP

Suara Sarawak