Bekalan air bersih pulih, penduduk Kapit lega

KAPIT: Penduduk Kapit dapat menarik nafas lega apabila sistem bekalan air di kawasan tersebut kembali pulih seperti sediakala secara berperingkat hari ini.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam satu kenyataan, menjelaskan pihaknya telah menyiapkan kerja baik pulih pada sistem dosing di Loji Rawatan Air Kapit yang dipercayai menjadi punca kepada bekalan air yang berwarna keruh beberapa hari ini.

“Antara kawasan yang telah kembali pulih adalah Kampung Muhibbah Bleteh, Kampung Baru, kawasan Jalan Selirik Kapit, kawasan pasar Kapit, kawasan Jalan Hilltop, kawasan Jalan Airport, Kampung Bestari dan di kawasan-kawasan yang lain.

“Pihak JBALB Bahagian Kapit telah mengenalpasti masalah pada sistem dosing tersebut dan mengambil tindakan segera dengan melakukan kerja-kerja baikpulih pada sistem berkenaan, dan telah disiapkan pada tengah malam semalam,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memberitahu pihak JBALB Bahagian Kapit telah melakukan kerja-kerja ‘flushing’ bermula awal pagi hari ini di semua kawasan di Kapit untuk membuang air keruh.

“Pasukan teknikal JBALB Bahagian Kapit turut turun padang bagi membuat pemantauan dan memastikan agar kualiti air berada pada tahap yang bersih dan selamat untuk digunakan oleh semua pengguna.

“Pihak JBALB Bahagian Kapit akan terus memantau rapi keadaan bekalan air dari semasa ke semasa,” tambah kenyataan tersebut.

Pihak JBALB turut memberitahu segala perkembangan terkini akan dimaklumkan di laman Facebook rasmi JBALB Sarawak dan Facebook JBALB Bahagian Kapit.

Para pengguna di bahagian Kapit juga dialu-alukan untuk menghubungi Jurutera Air Bahagian Kapit, Andres Inchatekoster di talian 016-8795047 dan Jurutera Awam Bahagian Kapit, Dominic di talian 011-1986 0412 untuk sebarang aduan dan pertanyaan.