SIMUNJAN: Gangguan bekalan air yang melanda Simunjan sejak beberapa hari lalu dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja pembaikan paip yang bocor di Jalan Gedong–Simunjan selesai lewat petang ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, berdasarkan penjelasan yang diterima daripada pihak bertanggungjawab, Loji Rawatan Air (LRA) Simunjan tidak dapat beroperasi sepenuhnya sejak 28 Julai lalu berikutan paras air di muka sauk berada pada tahap kritikal.

Katanya, keadaan itu menyebabkan bekalan air ke Simunjan ketika ini bergantung sepenuhnya kepada LRA Serian yang disalurkan melalui paip di Pam Penggalak Gedong.
“Bagaimanapun, pada 31 Julai berlaku kebocoran paip di Jalan Gedong–Simunjan yang berpunca daripada kerja-kerja pengorekan dan pembersihan parit oleh pihak kontraktor.
“Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan dan dijangka siap lewat petang ini. Setelah siap, bekalan air dari LRA Serian akan dapat disalurkan semula secara berterusan ke kawasan Simunjan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Awla berkata permintaan terhadap penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ketika ini amat tinggi di kawasan terjejas dan pihak berkaitan sedang berusaha memenuhi keperluan penduduk sebaik mungkin.
Dalam masa yang sama, katanya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Samarahan telah meminjam 16 tong air daripada JBALB Kuching untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan.
Selain itu, beliau berkata penghantaran bekalan air ke kawasan yang masih terjejas sedang dipergiatkan, manakala JBALB Samarahan turut menyediakan tangki air berpusat di beberapa lokasi strategik yang dikenal pasti bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih.
“JBALB komited menangani gangguan tersebut secepat mungkin bagi memastikan bekalan air kembali stabil, sambil merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh penduduk sepanjang tempoh gangguan,” ujarnya.





