
KUCHING: Keadaan bekalan makanan asas termasuk daging serta telur ayam, minyak masak dan lain-lain di Sarawak masih dalam keadaan terkawal.
Ekoran berlakunya isu kekurangan bekalan di beberapa lokasi di seluruh Malaysia, negeri ini masih memiliki tahap bekalan yang mencukupi.

Tinjauan Suara Sarawak ke beberapa pasar raya di bandar Kuching mendapati bekalan daging ayam dan telur masih mampu menampung permintaan rakyat.
Fatihah Yaakup, salah seorang peniaga ketika ditemu bual berkata, memang bekalan ayam dan telur berkurang tapi masih terkawal.

“Berdasarkan pengeluaran dari kilang, bekalan ayam dilihat berkurang namun masih dapat memenuhi permintaan orang ramai.
“Begitu juga dengan pengeluaran telur. Bagaimanapun, dapat dilihat bahawa ia semakin berkurangan,” katanya.
Menurutnya lagi, apabila jumlah bekalan ini berkurangan, ia juga memberi impak terhadap penetapan harga.
Dalam pada itu, wartawan kami juga membuat tinjauan minyak masak paket namun tidak menjumpainya susulan permintaan tinggi menyebabkan ia cepat habis sejurus dikeluarkan untuk dijual.