ARTIKEL

FOTO Ihsan KPKM.

Bekalan beras untuk Sarawak, Sabah mencukupi bagi musim perayaan ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TAWAU, Sabah: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras mencukupi bagi rakyat di Sabah serta Sarawak terutamanya menjelang sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata jumlah stok sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan beras di kedua-dua negeri itu serta Semenanjung bagi tempoh hingga lima bulan.

“Berdasarkan status semasa stok beras negara, jumlah stok bekalan beras hingga 14 Mei 2024 sebanyak 1,037,381 tan metrik meliputi 200,000 tan metrik simpanan stok kerajaan dan 837,381 tan metrik stok dagangan.

“Sebanyak 57,500 tan metrik simpanan stok kerajaan ditempatkan di gudang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Sabah manakala di Sarawak 33,000 tan metrik. Selaras jaminan itu KPKM diarah memantau bekalan beras di peringkat borong dan runcit agar mencukupi selain ia dijual pada harga berpatutan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Arthur pada semalam turut mengetuai lawatan kerja pemeriksaan ke gudang stok penimbal beras di sini, dan lawatan pemeriksaan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi antara kerajaan dengan BERNAS bagi memastikan simpanan stok beras negara sentiasa cukup dan terjamin serta berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, Arthur berkata 111,478 tan metrik beras putih import (BPI) dibekalkan kepada pasaran di Sabah dengan subsidi RM23.75 juta sebulan, sejajar dengan usaha kerajaan Persekutuan memberikan subsidi RM950 per tan metrik pada harga borong BPI mulai 5 Okt lepas bagi mengimbangi bekalan dan harga beras di Sabah, Sarawak serta Labuan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan turut menerima baik usaha kerajaan Sabah dalam meningkatkan kadar sara diri (SSR) beras di negeri ini seiring dengan tema Sambutan Pesta Kaamatan 2024 iaitu Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan.

“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan produktiviti padi di Sabah termasuk menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 bermula pada 9 Ogos 2023 di seluruh negara termasuk Sabah.

“Kerajaan juga menaikkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak daripada RM900 kepada RM1,300 per tan metrik berkuat kuasa 15 Feb lepas,” katanya.

Selain itu, menurutnya KPKM akan melaksanakan projek rintis Program SMART Sawah Bersekala Besar Ala Sekinchan di Kampung Kesapang Tengah, Kota Belud dengan keluasan 27.81 hektar yang melibatkan 15 peserta dan dijangka bermula Julai ini melalui penggunaan elemen mekanisasi serta automasi. — BERNAMA

BERITA LAIN

Tiga lelaki tiba-tiba rebah akibat rokok tercemar

BERLIN, Jerman: Dua lelaki tiba-tiba rebah semalamselepas menghisap rokok yang mengandungi bahan tidak diketahui, lapor agensi berita Jerman (dpa). Rokok berkenaan dipercayai dibeli daripada penjual

BERITA TERBARU

Tiga lelaki tiba-tiba rebah akibat rokok tercemar

BERLIN, Jerman: Dua lelaki tiba-tiba rebah semalamselepas menghisap rokok yang mengandungi bahan tidak diketahui, lapor agensi berita Jerman (dpa). Rokok berkenaan dipercayai dibeli daripada penjual