Bekalan makanan mencukupi sepanjang Ramadan

PASIR MAS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang bulan Ramadan walaupun negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata jaminan itu berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada pihak terlibat dalam pembekalan dan pemasaran bekalan makanan.

“Pada bulan Ramadan bekalan makanan terutamanya buah-buahan akan mendapat pemintaan tinggi dan berdasarkan maklumat yang kita perolehi ia mencukupi untuk rakyat. Kementerian dan agensi yang terlibat sentiasa memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Sehingga ini kami tidak nampak sebarang permasalahan dari segi bekalan makanan walaupun mempunyai masalah kecil seperti pergerakan dalam tempoh PKP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kutipan Hasil Projek Kelompok Pemulihan Tanah Terbiar di Kampung Slow Terliar, Pasir Mas, di sini, hari ini.

Che Abdullah berkata kerajaan masih lagi mengimport barangan makanan seperti buah epal, kurma bagi memenuhi permintaan terutama di bulan puasa dengan dikawal agensi berkaitan bagi memastikan syarat kemasukan makanan dipatuhi. – Bernama