Bekalan pertama vaksin untuk Sarawak tiba petang ini

KUCHING: Bekalan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech bagi Sarawak dijangka tiba jam 6.30 petang ini menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Subang ke Gudang Raya Airway (DHL), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Ketibaan vaksin akan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Menurut Dr Chin, vaksin ini ialah untuk fasa pertama.

“Untuk penghantaran, vaksin akan disimpan di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) yang disediakan di Kuching dan Sibu sebelum diagihkan ke seluruh negeri,” katanya yang dihubungi.

Bagaimanapun, belum dipastikan jumlah dos vaksin yang akan tiba ini.

Sementara, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail yang juga dihubungi berkata seramai lima pegawai dan 25 anggota polis akan terlibat untuk kawalan keselamatan dan mengiringi pembawaan vaksin ke Gudang DHL di sini.

Suara Sarawak