Bekalan tiga barang perlu mencukupi – Salihin

BINTULU: Bekalan tiga barangan perlu untuk perayaan Gawai Dayak bagi daerah Bintulu tahun ini mencukupi.

Tiga barangan perlu tersebut adalah minyak masak, gula pasir dan tepung gandum.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bintulu Salihin Den berkata, hasil pemeriksaan ke atas empat syarikat pembungkus semula minyak masak, masing- masing tiga pemborong gula pasir dan tepung gandum mendapati kesemua bekalan adalah mencukupi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan bimbang dan tidak membuat pembelian panik semasa musim perayaan ini.

Salihin Den

Katanya, sepanjang bulan ini belum ada lagi aduan diterima berhubung kekurangan barangan kawalan (gula pasir, tepung gandum, minyak masak).

“Pemantauan di premis-premis perniagaan diadakan secara harian termasuk pada hujung minggu dan hari cuti.

“Pemantauan dijalankan oleh pegawai penguatkuasa dengan bantuan pegawai pemantau harga di premis seperti kedai runcit, pasar basah, pemborong dan pembekal utama.

“Di samping itu, KPDNHEP Bahagian Bintulu juga menjalankan penguatkuasaan ke atas peniaga-peniaga yang gagal mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas memantau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Gawai Dayak ke atas beberapa premis kedai runcit,syarikat pemborong dan pembungkus, pasar basah di sini, semalam.

Dalam pada itu, Salihin berkata setakat 21 Mei tahun ini, sebanyak 3,330 premis perniagaan diperiksa dan sejumlah 60 kes dihasilkan di bahagian ini.

Jumlah berkenaan, jelasnya, melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1,415,864.27 juta.

“Sebanyak 48 kes dikompaun dengan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM9,700. Sejumlah 12 kes lagi masih dalam siasatan, katanya.

PANTAU…Anggota penguatkuasa KPDNHEP Bintulu memantau dan memeriksa harga barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Gawai Dayak.