Bekas banduan dicekup terlibat kes pecah kubur di Miri

MIRI: Tidak sampai seminggu keluar penjara, seorang lelaki dicekup lagi malam semalam kerana terlibat dalam kes pecah kubur di Tanah Perkuburan Riam di sini, baru-baru ini.

Suspek, 28, ditangkap di pekarangan pasar raya Emart Riam dalam operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Miri diketuai Inspektor Fredly Juing, kira-kira jam 10.45 malam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi berkata, suspek membuat pengakuan melakukan jenayah itu bersama tiga lagi rakan subahat yang masih bebas dan kini sedang dikesan oleh pihak polis.

“Suspek ini baru keluar dari penjara dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Kami juga dapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau dalam tahun 2014 ke 2018,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki membuat laporan polis selepas membuat pemeriksaan di kawasan tersebut kerana menerima maklumat daripada kontraktor bahawa beberapa kubur telah dicerobohi.

“Hasil pemeriksaaan mendapati lima ke tujuh tapak perkuburan telah dipecahkan,” ujar Meng Seah.

Suara Sarawak