SIBU: Seorang bekas calon pilihan raya kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu telah ditahan polis kerana terlibat dalam kes penipuan pembelian rumah membabitkan jumlah lebih RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya hari ini berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia 38 tahun telah ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Risikan dan Operasi Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada 27 Mei lalu.
Suspek katanya, disyaki menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan jualan lot rumah dengan harga yang murah.
“Sebanyak 37 laporan polis diterima melibatkan suspek dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang dihadapi kesemua mangsa adalah dianggarkan sebanyak RM1.009 juta,” tegas beliau.
Zulkipli berkata, suspek telah memperdayakan kesemua mangsa sejak 2019 sehingga 2023 dengan menawarkan jualan lot rumah di kawasan Sibu Jaya.
Suspek ujarnya, menawarkan jualan rumah di bawah harga pasaran dalam lingkungan RM120,000 sehingga RM180,000 bagi rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar (Semi-detached).
Kesemua mangsa telah membuat bayaran secara tunai bagi tujuan tempahan awal dan bayaran peguam, kata beliau.
“Selepas bayaran dibuat, mangsa diberi resit pembayaran deposit dan sesetengah mangsa diberikan dokumen perjanjian sebagai dokumen untuk meyakinkan mangsa terhadap tawaran yang dibuat.
“Mangsa merasa yakin lalu memperkenalkan suspek kepada ahli keluarga dan rakan-rakan lain untuk membuat pembelian rumah dari suspek,” katanya.