Bekas jurulatih mahu jadi pemain Kuching FA

BEKAS jurulatih pasukan Mongolia yang berasal dari Jepun, Akira Higashiyama, 30, merupakan antara calon import asing yang mencuba nasib untuk menyertai skuad Kuching FA.

Higashiyama yang mempunyai Lesen AFC dan Lesen A Kejurulatihan tertarik untuk menyertai Kuching FA setelah diajak sabahat karibnya, Yuta Suzuki yang juga bintang utama Kuching FA musim lalu.

“Saya berminat untuk bermain semula setelah rakan rapat saya Yuta menjemput saya untuk menyertai ujian pemilihan,” kata Higashiyama ketika ditemu bual Suara Sarawak.

“Jika dipilih saya akan kongsikan pengalaman saya sebagai pemain dan jurulatih untuk pasukan Kuching FA ini,” ujarnya yang boleh berbahasa Inggeris.

Higashiyama yang beraksi di posisi serangan dan tengah pernah menyertai kelab United FC di New Zealand pada 2018, namun ‘terjun’ ke bidang kejurulatiahn pada 2019.

Menurut pegawai pengiring, Higashiyama mempunyai kelebihan tersendiri di bahagian serangan, namun lebih berminat beraksi di bahagian tengah.

Sekiranya dipilih, dia bakal bergandingan dengan Suzuki. Malah menurut pegawai pengiring, kedua-duanya mampu menjadi kombinasi luar biasa kerana saling memahami.

Higashiyama dan Suzuki merupakan rakan akrab sejak di bangku sekolah lagi dan hubungan mereka kekal rapat sehingga sekarang ini.

Beliau adalah antara calon import asing yang mengikuti pemilihan sejak Selasa lalu bersama-sama pemain dari Brazil, Da Silva Santos, 32, yang beraksi di bahagian serangan.

Kuching FA sekarang ini dalam proses memilih tiga import asing bagi melengkapkan senarai 23 pemain. Sekarang ini mereka sudah pun mempunyai senarai pemain tempatan, termasuk empat muka baharu, Tommy Mawat, Paul Sambang, Affry Shahrul Afendy dan Andy Nicolas Nipen.