KUCHING: Seorang bekas tentera dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas disabit bersalah merogol seorang remaja perempuan hingga menyebabkan mengandung dan melahirkan anak mereka.
Hakim Maris Agan menjatuhkan hukuman terhadap Rod Rogers Guntor, 26, berasal Kampung Grogo, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di dalam sebuah bilik di Kampung Grogo, sekitar jam 2 pagi hingga 4 pagi, 6 Disember 2019.
Manakala, bagi pertuduhan kedua dia melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa yang sama di sebuah hotel di Bau, pada 29 Disember 2019.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) (d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Maris Agan menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan satu sebatan masing-masing bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa hari ini.
Menurut fakta kes, satu laporan polis dilakukan oleh seorang doktor selepas mendapati mangsa yang masih di bawah umur berusia 15 tahun mengandung 31 minggu.
Selepas mangsa melahirkan anaknya tahun lalu, Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) telah dilakukan dan laporan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa mangsa dan tertuduh adalah ibu bapa kepada bayi tersebut.
Sebelum tertuduh dijatuhi hukuman, Peguam Bela Jonathan Jalin yang mewakili tertuduh merayu kepada mahkamah agar anak guamnya diringankan hukuman kerana perlu menyara keluarga iaitu isterinya dan tiga orang anak mereka kerana dia telah ditamatkan perkhidmatan sebagai tentera.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie memohon agar mahkamah menggenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana telah mencemarkan nama kerajaan sebagai penjawat awam yang lebih mengetahui bahawa kesalahan tersebut tidak boleh dilakukan tetapi masih berbuat demikian.
Md Syafique menegaskan ia perlu mengambil kira trauma mangsa selain daripada tertuduh tidak mengambil peduli tentang anaknya yang telah dilahirkan mangsa.
Difahamkan, mangsa dan tertuduh tidak mempunyai sebarang hubungan dan semasa kejadian mereka baru sehari berkenalan.