Bekerja 10 jam sehari

SARIKEI: Penghantar makanan atau runner juga tidak terlepas berhadapan dengan cabaran ketika menunaikan tanggungjawab apatah lagi dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika ini, mereka menjadi pilihan utama orang ramai untuk mendapatkan makanan tanpa perlu keluar rumah.

Bagi Yaakup Kepeli, 39, atau lebih mesra dengan panggilan Dwan, dia bangga dapat berkhidmat kepada orang ramai sebagai petugas barisan hadapan yang menggalas tanggungjawab itu semata-mata mencari rezeki untuk keluarga.

Sepanjang PKP, katanya, jumlah tempahan pelanggan meningkat sehingga memaksanya melakukan tugas itu lebih 10 jam sehari.

“Saya memulakan tugas seawal jam 7.00 pagi dan adakalanya pulang ke rumah selewat jam 6.00 petang.

“Khidmat saya bukan hanya menghantar makanan, tetapi lebih daripada itu… tertakluk kepada kehendak pelanggan.

“Ada yang minta beli barangan keperluan dapur, berurusan dengan bank dan lain-lain lagi,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dwan berkata, setiap pelanggan dikenakan kadar bayaran antara RM5 hingga RM7 selain caj tambahan RM2 untuk setiap penghantaran bergantung pada jarak.

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, sebagai barisan hadapan, dia juga bimbang dijangkiti wabak Covid-19, namun perasaan itu diatasinya dengan bertawakal, di samping mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Bekerja 10 jam sehari MENCABAR… Dwan juga menyediakan khidmat kepada penduduk Bintangor.

Malah katanya, dia tidak lupa pesanan kerajaan agar menitikberatkan aspek pencegahan, sentiasa menjaga diri, mengutamakan kebersihan, menggunakan penutup mulut dan hidung serta menjaga jarak sosial.

“Saya seorang pengamal perubatan Islam sebelum menjadi runner. Sebelum ini, saya aktif memberikan rawatan Ruqyah Syariyyah serta bekam sunah kepada masyarakat sekitar Sarikei di samping berniaga secara kecil-kecilan.

“Secara tidak sedar, pekerjaan itu mendidik jiwa saya untuk membantu orang lain yang memerlukan bantuan.

“Bagaimanapun, selepas kerajaan menguatkuasakan PKP, semua itu terpaksa ditangguh.

“Ketiadaan pekerjaan menyebabkan saya agak tertekan apatah lagi ketika ini, memikul tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.

“Namun, Allah membuka pintu rezeki kepada saya untuk menjadi penghantar makanan dan barangan,” katanya.

Dwan mengakui, tugas sebagai runner cukup mencabar terutama ketika keadaan cuaca yang tidak menentu.

Sepanjang melakukan pekerjaan itu katanya, dia pernah berdepan dengan pelbagai cabaran dan selain pengalaman melucukan.

“Seorang pelanggan menggunakan khidmat saya untuk mengambil ikan di Pasar Sentral Sarikei.

“Tanpa berlengah, saya terus pergi ke tempat itu dan mengambil ikan yang dipesan untuk dihantar ke Taman Susur Jambu.

“Saya ingin menyelesaikan tugas dengan segera kerana ketika itu cuaca agak panas. Fokus saya nak balik rumah dan berehat.

“Pada masa yang sama, saya turut menghantar barangan pelanggan lain.

“Selesai sahaja kerja, saya bergegas pulang ke rumah tanpa sedar barangan (ikan) pelanggan tadi tertinggal.

Saya menyedarinya selepas menerima WhatsApp, “dek… ikan adik tinggal di market,” ujarnya sambil tersenyum.

Dia menambah, selain bersedia dari segi mental dan fizikal, runner juga perlu melakukan tugas dengan jujur.