KUCHING: Kumpulan OCBC Bank (Malaysia) Berhad sedia bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam menyokong strategi dan inisiatif kelestariannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Chor Sen berkata, Sarawak mempunyai potensi besar khususnya dalam pelaksanaan dasar ekonomi hijau menerusi tenaga boleh diperbaharui.
Malah peranan Sarawak dalam meneroka sumber teknologi hijau disifatkan penting bukan hanya di Malaysia tetapi di rantau ini.
“Kita melihat Sarawak sebagai kawasan yang berpotensi besar terutamanya dalam kawasan kemampanan yang sangat banyak dan ketika ini (Sarawak) mengisytiharkan fokus tersebut seperti yang dilakukan negara lain di dunia.
“Malah Sarawak memainkan peranannya bukan sahaja untuk negeri ini dan Malaysia tetapi di rantau ini segi tenaga hijau boleh diperbaharui sekali gus menyumbang kepada pembangunan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai kunjungan hormat OCBC Bank terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu, beberapa perkara dibincangkan bersama-sama pemimpin utama Sarawak termasuk bimbingan OCBC yang boleh membantu kesinambungan pertumbuhan strategi Sarawak.
“Apa yang lebih penting di sini kita mendapat bimbingan daripada Premier apabila OCBC boleh menyokong kesinambungan pertumbuhan dan strategi dalam inisiatif Sarawak, kami sangat gembira kerana dapat mengadakan lawatan ini,” katanya.
Sementara itu menurut Pengarah Urusan OCBC Bank (Malaysia) Berhad, Tan Ai Chin, pihaknya menyatakan komitmen penuh menyokong pembangunan infrastruktur di wilayah Sarawak.
Malah akan terus menyalurkan lebih banyak sumber dalam membantu pembangunan termasuk terlibat dengan projek tenaga boleh diperbaharui.
“Untuk makluman OCBC menjadi pengatur utama utama untuk insurans bon sebanyak RM5.57 bilion sehingga beberapa tahun lalu untuk menyokong pembangunan infrastruktur di rantau ini, kami akan terus meletakkan lebih banyak sumber untuk menyokong pembangunan infrastruktur.
“Seperti yang disebut oleh Tan Char Sen tentang projek tenaga boleh diperbaharui dan semua perkara lain yang menjadi keutamaan Premier Sarawak dalam meletakkan melaksanakan strategi Sarawak, kami OCBC yang bertapak selama 75 tahun akan terus memberi sokongan kepada wilayah ini,” katanya lagi.