Bekerjasama jaga kebersihan bandar Bintulu

BINTULU: Masyarakat awam di bahagian ini diajak untuk sama-sama berganding bahu menangani tabiat suka membuang sampah merata- rata.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu Rodziah Morshidi berkata ini sejajar dengan hasrat agensi Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) itu ke arah mencapai Bandar Perindustrian Mesra menjelang 2025.

Berucap pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Bintulu 2020 di ParkCity Mall, beliau berkata walaupun BDA akan sentiasa memainkan peranannya dalam menjaga bandar bersih dan mengekalkan kemudahannya untuk mencapai status ‘Bandar Perindustrian Mesra’ menjelang 2025, beliau berharap dapat melihat lebih banyak aktiviti gotong royong yang dilakukan secara sukarela.

Katanya lagi, BDA juga akan memperhebatkan kempen kebersihannya serta program pengindahan dan landskap, ke arah mencapai visi untuk bandar itu.

Bagaimanapun usaha itu tidak bermakna jika orang ramai tidak memainkan peranannya dan menyerahkan segala-galanya kepada BDA, tambahnya.

Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Bintulu 2020 merupakan acara tahunan terbesar BDA dengan kerjasama, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) khususnya Cina di Bintulu bagi mengeratkan hubungan kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Pelbagai aktiviti seperti menggaul Yee Sang, persembahan Tarian Naga dan Singa, kebudayaan dan nyanyian serta penyampaian sumbangan hamper makanan dan angpau kepada golongan kurang berkemampuan turut diadakan bagi mengisi acara sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina itu.

Turut hadir Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Clan Bintulu, Goh Huang Yong, Penasihat Gabungan Persatuan Clan Bintulu, Datuk Pui Kian Onn, Pengurus Operasi ParkCity Mall, Charles Wong.

Suara Sarawak