Bekerjasama majukan pendidikan

OYA: Larangan terhadap wakil rakyat di Sarawak untuk melawat ke sekolah adalah tidak wajar, tegas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, larangan tersebut bertentangan dengan semangat pemimpin Sarawak yang terdahulu sehingga kini yang berterusan bersama-sama dengan ibu bapa membangunkan pendidikan.

“Bagi saya untuk bersamasama dalam majlis sebegini merupakan satu penghormatan kepada semua kerana, tujuan utama kita adalah untuk memajukan pendidikan.

“Sebab itu, semua pihak harus bekerjasama membantu termasuklah wakil rakyat Kerajaan Sarawak,” katanya semasa Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Edisi Ke-40 SK Datu Pengiran Mohamad, semalam.

Ujarnya lagi, sejak dahulu ibu bapa dan warga sekolah bersamasama dengan pemimpin tempatan akan bergotong-royong membina sekolah meskipun sekolah tersebut dibina di atas tanah milik kerajaan.

Fatimah menambah, walaupun apa jua cabaran yang dihadapi terutamanya sekolah di luar bandar, ia tidak akan melunturkan semangat memajukan pendidikan anak-anak Sarawak.

“Sesungguhnya kejayaan anak-anak kita pada hari ini merupakan sumbangan dan komitmen warga pendidik dan semua pihak berkepentingan,” tegasnya.

Beliau turut berkata, bangunan sekolah lama yang tidak lagi digunakan akan dijadikan sebagai pusat tahfiz harian kepada anakanak di kawasan tersebut.

“Semoga hasrat kita untuk memulakan tahfiz harian ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Pelajaran Daerah Dalat dan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Oya (Lakmo),” katanya.