Belajar bahasa isyarat demi kawan

KUCHING: Persatuan Orang-orang Pekak Sarawak (SSDeaf) akan terus berusaha membantu dan menyediakan kemudahan kepada golongan itu.

Ahli SSDeaf Steffany Nichlos, 25 tahun berkata, dia mula menjadi ahli persatuan tersebut awal tahun ini kerana minat mendalam untuk mengetahui perkembangan orang pekak.

“Saya normal dan tiada ahli keluarga mengalami masalah pendengaran tetapi saya ingin membantu golongan ini untuk terus maju sama seperti orang lain.

“Saya mula mengenali mereka kerana salah seorang ahli kawan saya. Lama-kelamaan minat untuk belajar bahasa isyarat itu muncul,” katanya.

Steffany berkata demikian ketika ditemui dalam program Kesedaran Awam Mengenai Kemahiran dan Bakat Komuniti Pekak di Bormeo 744, di sini kelmarin.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini menyediakan perkhidmatan mengajar bahasa isyarat kepada masyarakat.

“Ia tidak terhad kepada usia, bangsa dan terbuka kepada semua masyarakat termasuk golongan normal.

“Ada juga yang normal datang belajar bahasa isyarat kerana minat untuk belajar bahasa baharu bagi memudahkan komunikasi, sama seperti saya sendiri,” jelasnya.

Menurutnya, bahasa isyarat mempunyai tiga peringkat iaitu peringkat satu, dua termasuk menjadi penterjemah.

“Saya sendiri kini belajar pada peringkat satu hanya belajar tentang asas-asas bahasa isyarat.

“Setakat ini, saya mudah berkomunikasi dengan rakan-rakan dalam persatuan terutama ketika mengadakan pameran seperti ini,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin belajar bahasa isyarat, yuran RM100 untuk peringkat pertama, peringkat kedua (RM120) dan penterjemah secara percuma. Kesemua sesi dijalankan selama tiga bulan.

Jelasnya, tenaga pengajar bahasa isyarat terdiri daripada ahli persatuan yang mengalami masalah perdengaran.

“Persatuan ini turut membantu mempromosikan barang dijual ahli persatuan seperti barang jahitan, kraf tangan dan sebagainya.

“Ahli persatuan kami juga ada yang pandai melukis, membuat perabot dan banyak lagi.

“Kami akan bantu mempromosikan khidmat mereka,” katanya lagi. Dalam hal berkaitan dia menjelaskan, semua produk yang dijual dalam pameran tersebut adalah barangan yang dibuat oleh ahli persatuan.

Menurutnya, pada 28 Julai ini mereka akan mengadakan Jualan Makanan Amal 2019 di Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) di sini.

“Jualan tersebut untuk mengumpul dana bagi membina tadika untuk golongan pekak.

“Ia untuk memberi pendidikan awal kepada golongan ini serta menyediakan kemudahan kepada mereka,” katanya yang baharu sahaja menamatkan pengajian pascasiswazah dalam jurusan Sains Biologi di University of Waikato, New Zealand.

Untuk maklumat lanjut tentang jualan tersebut, orang ramai boleh menghubungi Jac di talian 012-2881930 dan Mr. Lai di talian 016-8662875.