Belajar Bahasa Jepun di Sidma

KUCHING: Kolej Sidma Sarawak komited menubuhkan platform baharu iaitu Pusat Bahasa Jepun untuk membantu warga Sarawak menguasai bahasa tersebut.

Pengasas Kolej Sidma Dr Morni Kambrie berkata, penubuhan pusat bahasa tersebut bertujuan memberi peluang kepada pelajar menguasai komunikasi dalam bahasa Jepun di samping memberi kelebihan peluang pekerjaan di negara asing.

Menurutnya, idea penubuhan Pusat Bahasa Jepun di Sidma terhasil melalui usaha sama yang ditunjukkan oleh warga Jepun untuk berkolaborasi tenaga kerja bersama-sama negara luar.

“Jumlah tenaga kerja yang diperlukan terhadap 14 industri di Jepun pada 2019 kira-kira 50,000 orang, manakala senarai untuk lima tahun sehingga tahun 2024, jumlah yang diperlukan di sana dianggarkan sehingga 250,000
pekerja.

“Keputusan awal penubuhan pusat tersebut di Sabah berjaya menarik seramai 24 orang awam yang berdaftar untuk mengikuti kelas berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Pusat Bahasa Jepun di Kolej Sidma Sarawak oleh Presiden Persatuan Alumni Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun-Malaysia (myJICA) Norazizul Abdul Aziz di Wisma Mornie, baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri oleh sekitar 200 pelajar dan kakitangan Kolej Sidma Sarawak.

Turut hadir Penolong Pengarah Hospital Umum Sarawak Alex Kim Ren Jye, Ketua Pegawai Eksekutif Sidma Dayang Sofia Abang Bohan serta Pengarah Kewangan Sidma Hanizah Mohidin.

Suara Sarawak