Belajar daripada Covid-19

GEDONG: Pandemik Covid19 bukan sahaja mengancam banyak nyawa, tetapi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai perlunya menghasilkan bekalan makanan mencukupi terutama produk pertanian di negeri ini.

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, ramai dalam kalangan masyarakat sukar mendapat bekalan makanan, malah ada kekangan menghantar makanan ke sesuatu tempat.

Katanya, sebagai contoh, beberapa negara pengeksport beras menghentikan penghantaran produk komoditi itu ke negeri ini.

Kata Naroden, keadaan ini berlaku kerana negara berkenaan mahu bekalan beras hanya untuk menampung keperluan warganya.

“Bagaimanapun, Sarawak masih bernasib baik kerana simpanan beras di negeri ini masih banyak dan sentiasa mencukupi untuk keperluan penduduk di negeri ini.

“Lagipun, kontrak pengeksportan beras dari beberapa negara termasuk Thailand dan Kemboja masih sah dalam tempoh yang agak panjang.

“Penduduk yang masih mempunyai tanah terbiar supaya aktif mengusahakan kawasan untuk aktiviti pertanian supaya bekalan makanan berasaskan produk pertanian sentiasa mencukupi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Kursus Asas Penanaman Halia di Dewan Masyarakat Gedong di sini lewat petang Sabtu lalu.

Kursus sehari itu disertai kira-kira 40 peserta dan dianjurkan Unit Pertiwi, Pertubuhan Kebajikan Ukhuwwah Sarawak dengan kerjasama dan sokongan PBB Gedong.

Mohd Naroden yang juga Adun Gedong menyokong usaha dijalankan Unit Pertiwi Ukhuwwah Gedong yang menggalakkan ahlinya berkecimpung dalam aktiviti pertanian meskipun hanya mengusahakan tanaman secara fertigasi di kawasan rumah masing-masing.

Sehubungan ini, Mohd Naroden turut mengumumkan peruntukan RM13,000 untuk membantu ahli-ahli Unit Pertiwi Ukhuwwah Gedong membeli benih tanaman dan membangunkan kawasan tanaman.

Mohd Naroden yakin projek penanaman halia secara fertigasi di Gedong akan membuahkan hasil dan mampu membantu meningkatkan taraf ekonomi peserta berkenaan Katanya, ini kerana produk pertanian herba seperti halia, serai dan lada hitam mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan di luar negara terutama di negara China, India dan Eropah.

Turut hadir ialah Penghulu Kawasan Gedong Abang Ronee Abang Saadeli, Datuk Posa Majais, Presiden Pertubuhan Kebajikan Ukhuwwah Sarawak, Mohd Irwan Shah Thomas Abdullah dan Pengerusi Unit Pertiwi Ukhuwwah Gedong, Iskandar Mardan.

Kursus dibimbing oleh Abang Azizi Buang dan kursus berkenaan diadakan secara kelaziman baharu bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Suara Sarawak