ARTIKEL

Belanja ikut kemampuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SETIAP penyokong bola sepak mahu melihat kelab diminati dapat mempamerkan prestasi cemerlang, sekali gus menjulang trofi kejuaraan.

Untuk kekal cemerlang bukan perkara mudah, ini kerana setiap kelab perlu menamatkan kontrak pemain sedia ada dan membawa masuk pemain baharu supaya sesuai dengan falsafah jurulatih.

Bukan itu sahaja, setiap kelab juga perlu mempunyai sumber kewangan kukuh bagi mengelak berhutang terutama melibatkan gaji pemain dan kos operasi kelab yang menelan belanja besar.

Disebabkan masalah kewangan, kelab yang mempunyai sejarah cemerlang dalam arena bola sepak sudah pasti akan jatuh merudum disebabkan kurang motivasi dan galakan.

Kita tidak perlu melihat liga di luar negara sebaliknya di negara kita masalah kewangan menjejaskan pembayaran gaji pemain dan pegawai kelab.

Keadaan ini menyebabkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sukar untuk membuat perancangan, termasuk mengekalkan jumlah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.

Perkara ini diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam yang menganggap struktur Liga Super dengan penyertaan 14 pasukan ketika ini adalah struktur terbaik pernah dilaksanakan.

Bagaimanapun, pada masa sama menurut Stuart, pendekatan itu juga bukan dilihat sebagai satu kemestian.

Mengambil kira isu masalah kewangan dihadapi pasukan yang kembali hangat diperkatakan, tambah Stuart, MFL akan melakukan yang terbaik termasuk jika terpaksa mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga.

“Saingan liga musim ini sepatutnya mempunyai 16 pasukan, penyingkiran Melaka United dan Sarawak United FC adalah disebabkan masalah dalaman mereka.

“Jadi jika timbul isu, kami (MFL) perlu mengurangkan kepada 13 pasukan (musim depan), jika ia harus berlaku, maka ia harus berlaku,” katanya Stuart turut mengesahkan dua pasukan berdepan masalah kewangan dengan salah satunya adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak di media sosial bahawa separuh pasukan bertanding mengalami masalah kewangan.

Sementara itu, Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui berdepan tekanan untuk menguruskan pasukan kelab itu terutama daripada segi kewangan dan tanggungjawab menjaga kesemua pemain.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor tampil mendedahkan kebenaran dengan menegaskan menguruskan JDT seperti menjaga 32 bayi kaya dan budak manja.

Tunku Ismail berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk menjaga kelab bola sepak kerana perlu melabur wang yang banyak namun manfaat atau pulangan yang diperoleh agak sedikit.

“Tekanan dalam segi kewangan sangat-sangat berat dalam bola sepak terutamanya dalam negara kita.

Walaupun JDT banyak kerjasama dan penajaan daripada syarikat antarabangsa, tetapi kita masih tetap ‘struggle’,” kata Tuanku Ismail.

Namun masalah kewangan bukan sahaja melibatkan kelab di Malaysia. Ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, 12 kelab divisyen 1 dan 10 kelab divisyen 2 Liga Korea (K-League) berdepan masalah kewangan serius.

Apa yang boleh kita simpulkan ialah setiap kelab yang bersaing dalam mana-mana liga perlu bijak merancang perbelanjaan.

Mereka perlu berbelanja mengikut kemampuan pasukan.

Kita lihat kebanyakan pasukan yang berdepan masalah kewangan sebenarnya mengambil pemain import yang mahal di luar kemampuan mereka.

Memang langkah mereka bagus dan bijak bagi menguatkan pasukan, namun jika gagal melunaskan gaji pemain mengikut masa ditetapkan, akan memberi masalah lebih besar kepada kelab.

Di Malaysia, pemain yang beraksi dalam Liga Super merupakan seorang yang profesional kerana bergantung sepenuhnya kepada bola sepak untuk menjana pendapatan.

Kita tidak mahu melihat pemain yang bermati-matian berlatih dan bermain untuk kelab terpaksa berdepan dengan hutang disebabkan kegagalan pengurusan kelab merancang kewangan dengan baik.

Negara kita mungkin akan kehilangan ramai pemain hebat jika masalah kewangan ini masih berlarutan.

Sudah pasti pemain berbakat tawar hati untuk terus bermain bola sepak sekiranya memikirkan tidak dibayar gaji.

Selain itu, ibu bapa juga tidak mahu menyokong karier anak-anak mereka dan mungkin memilih kerjaya lain yang lebih menjamin masa depan mereka.

Sekarang masanya untuk setiap kelab di Malaysia memikirkan jalan terbaik untuk memulihkan kembali masalah kewangan yang membelenggu mereka.

Sekiranya tidak mempunyai kemampuan untuk menggunakan pemain import asing, mereka mungkin boleh menggunakan pemain import tempatan. Jangan disebabkan mahu menjadi pasukan hebat dan menjadi juara, mereka mengabaikan mengenai kewangan kelab.

Pengurusan kelab juga mungkin boleh merisik penaja namun mereka perlu mempunyai visi jelas mengenai masa depan kelab.

Setiap penaja sudah pasti mahukan pulangan bagi setiap wang yang mereka keluarkan.

Tidak ada penaja mahu mengeluarkan wang tanpa pulangan. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL mungkin boleh memperkenalkan peraturan Financial Fair Play (FFP) di negara ini tahun depan.

Di Eropah, FFP mula diwujudkan pada musim 2011/2012 selepas banyak pasukan di benua itu berdepan masalah kewangan sejak 2009, bahawa lebih 655 kelab mengalami kerugian, berbanding tahun sebelumnya.

Jika FFP diperkenal, setiap pasukan bertanding perlu mematuhi peraturan ditetapkan dalam usaha menoktahkan masalah tunggakan gaji yang tiada kesudahannya.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Lebih 360,000 ngusung Muzium Budaya Borneo

KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) ngerikod lebih 360,000 pengusung sepemanjai taun 2023. Menteri Dagang Temuai, Industri Kreatif enggau Seni Pemerindang (MTCP), Datuk Seri Abdul Karim