KUCHING: Belanjawan 2023 tidak memberi kesan yang begitu mendalam terhadap industri pelancongan di Sarawak.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak, John Teo berkata hal ini kerana peruntukan tersebut tidak mempunyai sebarang faktor ‘wow’ yang disifatkan hanya sebagai perkara biasa.
“Daripada RM388 lebih bilion yang diperuntukan, Sarawak hanya diberi RM5.6 bilion.
“Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 30 Januari lalu terdapat 340 projek sakit di Sarawak.
“Semestinya kita mengharapkan agar kesemua projek sakit ini akan disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Lebuhraya Pan Borneo (LPB) kini juga perlu diberi fokus memandangkan ia dijangka siap pada tahun ini.
Selain itu katanya, Lapangan Terbang Miri juga perlu dinaik taraf dan diperluaskan lagi daripada kapasiti semasa yang mengendalikan dua juta penumpang kepada tiga juta.
“Penumpang sekarang sudah melepasi 2.439 juta seperti pada 2019 sebelum wabak Covid-19.
“Kami berharap dana yang diperuntukan akan menjadi kenyataan dan projek ini dijadual siap tahun ini dapat disiapkan tepat pada masanya,” katanya.
Untuk itu, beliau menegaskan kini terpulang bagaimana Kerajaan Sarawak terutamanya ahli-ahli Parlimen memperjuangkan dana tambahan untuk banyak projek sakit yang masih menunggu pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, hal ini adalah penting bagi mengetahui sebarang perkembangan lanjut di Sarawak terutama dalam memperjuangkan dana tambahan.
Antara ringkasan peruntukan belanjawan untuk Industri pelancongan merangkumi Insentif pelancongan, promosi dan program pemasaran berjumlah RM200 juta; Geran Padanan Promosi Pelancongan (GAMELAN) melibatkan kenaikan pangkat dan kempen pemasaran dengan industri berjumlah RM90 juta; Geran pemadanan untuk penganjuran program pelancongan termasuk acara sukan antarabangsa berjumlah RM25 juta; Galakan penerbangan terus baharu ( Operator – Malaysia Airport Holdings Berhad) Penerbangan dari destinasi antarabangsa ke Malaysia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; Program ekopelancongan (RM10 juta) (Menaik taraf tarikan ekopelancongan di Gua Kelam, Perlis) Merintis usaha pengurusan sisa pepejal yang mampan dalam Pulau Perhentian, Terengganu; Mempergiatkan aktiviti di Taman Pertanian Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.