ARTIKEL

Ahmad Johnie Zawawi

Belanjawan 2027: Ahmad Johnie Desak Tambah Kelas PPKI, Percepat Audit Keselamatan Elektrik Sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kekurangan 11 kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di enam sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro serta keperluan mempercepat audit keselamatan elektrik sekolah antara isu mendesak yang dibangkitkan dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kekurangan kemudahan pembelajaran bagi murid berkeperluan pendidikan khas perlu ditangani segera bagi memastikan mereka mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

Menurutnya, enam sekolah terbabit mempunyai 16 kelas PPKI sedia ada, sedangkan sebanyak 27 kelas diperlukan untuk menampung 190 murid, sekali gus mewujudkan kekurangan 11 kelas.

“SK Abang Gesa memerlukan empat kelas untuk menampung 25 murid berbanding hanya satu kelas sedia ada, manakala SMK Matu memerlukan lima kelas bagi 29 murid berbanding tiga kelas ketika ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro pula memerlukan lima kelas bagi menampung 32 murid berbanding tiga kelas sedia ada, manakala SMK Semop memerlukan empat kelas untuk 22 murid berbanding tiga kelas ketika ini.

Selain itu, katanya, SK Bawang Tian memerlukan empat kelas bagi menampung 27 murid berbanding dua kelas sedia ada, manakala SK Hijrah Badong memerlukan lima kelas untuk 55 murid berbanding empat kelas ketika ini.

“Kekurangan ruang pembelajaran menyukarkan guru memberikan perhatian sewajarnya kepada setiap murid, selain berpotensi menjejaskan keselamatan dan keberkesanan proses pembelajaran memandangkan murid berkeperluan pendidikan khas mempunyai tahap keupayaan serta keperluan yang berbeza,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan peruntukan khas bagi mewujudkan ruang pembelajaran sementara, termasuk melalui pemasangan sekatan ruang yang sesuai dan selamat, tanpa perlu menunggu pembinaan bangunan baharu.

Beliau turut meminta KPM menjelaskan jumlah kekurangan guru pendidikan khas dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM), garis masa pengisian kekosongan serta jumlah kelas daripada sasaran 200 kelas pendidikan khas baharu bagi tempoh 2026 hingga 2027 yang diperuntukkan kepada Sarawak, khususnya sekolah di bawah PPD Daro.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Johnie turut menggesa KPM memperjelas status pelaksanaan audit keselamatan elektrik di sekolah-sekolah Sarawak susulan tragedi yang mengorbankan seorang murid asrama di SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro pada Mei 2026.

Beliau meminta kementerian menyatakan jumlah sekolah yang telah menjalani audit, kerosakan kritikal yang dikenal pasti serta tindakan pembaikan yang dilaksanakan, khususnya di sekolah di bawah PPD Daro.

“Saya juga memohon pengesahan sama ada keseluruhan sistem pendawaian elektrik di sekolah berkenaan, termasuk di kawasan asrama, telah diperiksa dan disahkan selamat,” katanya.

Ahmad Johnie turut mencadangkan supaya audit keselamatan elektrik dilaksanakan secara berkala, dengan sekolah yang mempunyai aduan kerosakan kritikal diberikan keutamaan tanpa mengira usia bangunan.

Katanya, kawasan yang dikenal pasti berisiko perlu diasingkan sehingga disahkan selamat oleh pihak teknikal bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa murid daripada berulang.

Selain itu, beliau meminta KPM menilai semula cadangan perubahan kategori lapan sekolah pedalaman di bawah PPD Daro dengan mengambil kira faktor pengangkutan, kemudahan asas, risiko keselamatan dan kebajikan guru.

“Empat sekolah kategori P1 dicadangkan kehilangan status pedalaman, manakala empat sekolah kategori P2 dicadangkan diturunkan kepada kategori P1.

“Pada masa sama, saya memohon supaya SK Sabena, SK Nanga Semah dan SK Telok Gelam dinaik taraf daripada kategori P2 kepada P3 kerana sekolah-sekolah berkenaan masih bergantung pada laluan sungai, selain berdepan masalah bekalan air dan elektrik, capaian internet yang lemah serta keadaan kuarters guru yang daif,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya status kategori sedia ada bagi sekolah yang terlibat dikekalkan selama dua tahun sementara penilaian semula secara menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan sebarang keputusan mengambil kira cabaran sebenar yang dihadapi warga sekolah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU