ARTIKEL

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg . FOTO UKAS

Belanjawan Sarawak 2026: Perbelanjaan Biasa RM12.9 bilion, Perbelanjaan Mengurus RM5.6 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2026 mencadangkan jumlah Perbelanjaan Biasa sebanyak RM12.9 bilion dan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM5.6 bilion.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata daripada jumlah Perbelanjaan Biasa, RM5.6 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM7.3 bilion adalah untuk peruntukan ke dalam Akaun Dana Pembangunan.

“Peruntukan ini adalah bagi menambah baki sedia ada dalam Akaun Dana Pembangunan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan 2026 berjumlah RM9.3 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 sempena pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Manakala di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM5.6 bilion diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan emolumen kakitangan (RM1.4 bilion atau 25 peratus) dan bekalan dan perkhidmatan (RM2.2 bilion atau 38 peratus).

Beliau menambah, RM1.8 bilion atau 32 peratus bagi geran dan bayaran tetap, termasuk geran operasi kepada badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, perkhidmatan hutang awam serta bayaran gratuiti, pencen dan biasiswa, termasuk bantuan kewangan dan kebajikan; RM99 juta bagi perolehan aset serta RM150 juta bagi perbelanjaan mengurus lain.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata dengan unjuran hasil sebanyak RM13.05 bilion dan jumlah Perbelanjaan Biasa sebanyak RM12.91 bilion, Belanjawan Sarawak 2026 dijangka mencatat lebihan sebanyak RM144 juta.

“Belanjawan Sarawak 2026 kekal sebagai belanjawan strategik dan mengembang, berasaskan kejayaan penyusunan semula hasil serta pengurusan kewangan berhemat.

“Ia memberi keupayaan kepada kita untuk melaksanakan pelaburan berani dalam infrastruktur, transformasi digital dan pembangunan mampan, sambil memastikan kesejahteraan rakyat kekal sebagai keutamaan utama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Belanjawan Sarawak 2026 memperuntukkan RM9.3 bilion bagi tujuan pembangunan, mencerminkan tindak balas kerajaan terhadap ketidaktentuan ekonomi global, termasuk turun naik harga komoditi dan ketegangan geopolitik yang terus mempengaruhi realiti fiskal di seluruh dunia.

“Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa nilai sebenar belanjawan ini bukan ditentukan oleh jumlahnya, tetapi oleh tujuannya. Bukan kuantum peruntukan yang menjadi ukuran utama tetapi impak yang ingin kita capai,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata belanjawan yang bertemakan ‘Memperkasa Rakyat, Memacu Kemakmuran, Membina Masa Depan Berdaya Tahan’ itu berfokus kepada lima matlamat utama iaitu mengubah Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui inisiatif berfokus rakyat dan berorientasikan pembangunan.

Pada masa sama, memperkukuh kedudukan fiskal negeri ke arah kelestarian kewangan jangka panjang, memposisikan Sarawak sebagai kuasa ekonomi serantau dan destinasi pelaburan utama di Malaysia serta menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga boleh diperbaharui dan hijau.

Menjelas lanjut, beliau berkata dipandu oleh matlamat itu, Belanjawan Sarawak 2026 dibina berasaskan sembilan teras strategik iaitu mengubah dan memperbagaikan ekonomi Sarawak, menggalakkan pelaburan dan memupuk industri strategik, membina pendidikan berkualiti dan modal insan serta melindungi dan mengurus sumber asli secara lestari.

Selain itu merapatkan jurang pembangunan dan memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar, menjaga kelangsungan hidup rakyat, memperkasa budaya, sukan dan pembangunan belia, memacu penyelidikan dan pembangunan, sains dan teknologi serta inovasi serta memperkukuh keupayaan kerajaan dan penyampaian perkhidmatan awam.

Abang Johari menambah, belanjawan itu juga berteraskan tiga keperluan utama iaitu respons strategik, dengan mesti kekal tangkas dalam pengagihan sumber, memastikan peruntukan disalurkan ke sektor yang memacu pertumbuhan inklusif dan daya saing negara.

Ia termasuk daya tahan fiskal, dengan akan memperkukuh benteng kewangan serta mengamalkan langkah berhemat untuk melindungi kewangan awam daripada kejutan luar dan ketidakstabilan domestik.

Seterusnya penyelarasan dasar, dengan keputusan belanjawan mencerminkan keutamaan dalam agenda pembangunan negeri, dengan perkaitan yang jelas kepada hasil yang digariskan dalam PCDS 2030 yang berteraskan tiga tonggak: Kemakmuran Ekonomi, Masyarakat Inklusif dan Kelestarian Alam Sekitar.

BERITA LAIN

Wanita rentung dalam kebakaran

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi. Jurucakap

BERITA TERBARU

Wanita rentung dalam kebakaran

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi. Jurucakap