Belanjawan tidak adil untuk kita

MUKAH: Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya menjelaskan begitu kecewa nasib menimpa Sarawak berdasarkan peruntukan Bajet 2020 dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam.

Katanya, peruntukan diberikan Kerajaan Persekutuan dilihat terlalu sedikit untuk Sarawak.

“Jika dibandingkan saiz Sarawak lebih besar berbanding Sabah. Sabah menerima bajet jauh lebih besar.

“Selain itu, bajet untuk sekolah daif RM1 billion juga tidak dinyatakan seperti kawasan saya, antara kawasan banyak memiliki sekolah daif,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya, bajet untuk Sekolah Menengah Kebangsaan Matu yang sudah terlalu uzur juga tiada sehingga kini.

“Ternyata bajet pembangunan untuk Sarawak terus tidak dipedulikan. Ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan terus membuli Sarawak yang jelas memperlihatkan prinsip diamalkan bertentangan dengan semangat dan federasi dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Pertambahan hospital dan klinik untuk di Sarawak juga tiada diperjelaskan. Hakikatnya kemudahan kini semakin kurang dan memerlukan penambahan,” ujarnya.

Seharusnya berlaku katanya, pembentangan bajet tersebut adalah peluang terbaik untuk Kerajaan Persekutuan membuktikan keikhlasan untuk memperkukuhkan semangat federalisme.

Suara Sarawak