Beli data Internet bebankan ibu bapa

KUCHING: Perbelanjaan membeli data Internet menjadi bebanan baharu kepada ibu bapa.

Aktivis masyarakat, Omar Immun berkata sebahagian keluarga berdepan masalah berbelanja tinggi untuk membeli data Internet kelajuan tinggi, sedangkan dalam masa sama rakyat pula berdepan krisis kewangan akibat pandemik Covid-19.

“Tindakan menutup sekolah memang wajar dan ini menyebabkan sistem pendidikan negara turut berubah, iaitu penggunaan teknologi secara maksimum untuk pembelajaran secara dalam talian.

“Namun cabaran pertama ialah tidak semua keluarga mampu menyediakan kemudahan data Internet untuk anak-anak, apatah lagi bagi keluarga yang mempunyai ramai anak yang bersekolah,” katanya yang dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, beliau merangkap Yang Di-Pertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak berkata ini secara tidak langsung memberikan kesan negatif terhadap proses ulang kaji serta pengajaran dan pembelajaran (P&P) kerana pembelajaran dalam talian mengurangkan fokus dan agak kurang efektif.

Katanya, tinjauan ke atas para pelajar melalui laporan beberapa portal juga membuktikan bahawa Covid19 telah memberi kesan langsung ke atas P&P.

Majoriti pelajar bersetuju bahawa pembelajaran secara bersemuka lebih berkesan.

“Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan melalui kerjasama beberapa kementerian lain telah menyediakan komunikasi P&P seperti televisyen pendidikan, radio pendidikan dan pemberian bahan pendidikan, namun kesannya tidak sama seperti pembelajaran secara bersemuka,” katanya.

Selain itu, Omar yang juga Naib Presiden 1 MAPIM Kebangsaan menambah, cabaran kedua ialah tidak semua lokasi mendapat liputan Internet yang baik.

Katanya berdasarkan fakta oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 2 September lalu, capaian Internet ke atas pelajar yang belajar secara dalam talian menunjukkan 52.6 peratus mencapai capaian Internet yang baik, 31.6 peratus kurang baik dan 7.9 peratus tidak baik.

“Capaian Internet yang baik dicapai oleh majoriti pelajar yang tinggal di bandar utama.

“Angka ini memperlihatkan lebih 40 peratus pelajar menghadapi masalah data jaringan, ini sesuatu yang sangat serius,” katanya.

Sementara, Omar berkata satu mekanisme baharu perlu diwujudkan untuk pendekatan yang bersesuaian dengan Revolusi Industri 4.0 masa kini iaitu kecerdasan buatan.

Katanya Revolusi Industri 4.0 merupakan cabaran baharu ekoran Covid-19, bukan sahaja dalam sistem pendidikan tetapi melibatkan semua bidang dan kehidupan masyarakat.