Beli emas dengan Uncle Kin Lee 

MUKAH: Trend membeli emas untuk tempoh ini diakui menjadi peluang berharga buat pengguna  yang bijak untuk menyimpan aset masa depan tinjauan Suara Sarawak di sini mendapati pembelian emas dilihat menunjukkan peningkatan meskipun harga emas di pasaran tidaklah terlalu rendah sekitar RM270 untuk emas 999  dan RM260 untuk emas 916 setakat 20 Mac.

Pemilik kedai emas Lee Onn Goldsmith, Leong Kin Lee 53 berkata, terdapat peningkatan membeli emas di Mukah ekoran harga emas menurun.

“Orang yang datang tidaklah terlalu ramai. Dalam seminggu boleh dikatakan puluhan pelanggan yang datang.

“Harga terkini ditetapkan melalui perbincangan bersama dengan semua penjual emas.

“Ini bagi memastikan nilai yang sama agar tidak berlaku kekeliruan berbanding dahulu apabila harga emas di Mukah ditetapkan Persatuan Penjual Emas di Sibu,”jelasnya.

Ketika ditemui Suara Sarawak semalam di kedainya, Kin Lee berkata, harga emas kini turun sebanyak RM15 segram berbanding bulan lalu dan ia dipengaruhi pasaran global.

“Biasanya ramai pelanggan datang ke kedai ini. Kebanyakan suka beli emas 916 kerana banyak pilihan terkini.

“Trend membeli emas ini sangat baik kerana boleh membantu ketika waktu sukar sama ada menjual balik atau membuat gadaian.

“Setidaknya, ia mempunyai nilai dalam harga pasaran dan berguna untuk pelaburan,”ujarnya.

Aktif menjual emas lebih 30 tahun dan membuka kedai berkenaan lebih 20 tahun di Pekan Mukah di sini, Kin Lee berpendapat emas satu-satunya pelaburan sangat berharga. Manakala bagi pemilik kedai emas Pau Shen Goldsmith, Mui Hen Yew 43, menjelaskan meskipun berlaku penurunan harga emas di pasaran, pelanggan tetap sama seperti biasa.

“Saya lihat keadaan sama sahaja untuk jumlah pengguna yang datang ke kedai ini. Harga emas ada juga turun sedikit.

“Sebagai penjual emas, saya berharap agar harga emas di pasaran turun lebih banyak agar lebih ramai berpeluang membeli dan memilikinya,” katanya yang membuka kedai emas berkenaan lebih 20 tahun di pekan Mukah.

Menariknya sesetengah kedai di sini mempunyai keunikan tersendiri apatah lagi cukup dikenali dan lama bertapak serta mempunyai pelanggan tetap.

MUI HEN YEW

Suara Sarawak