KUCHING: Gara-gara membeli tiket loteri haram, seorang lelaki berusia 32 dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Jimmy Lee, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh seorang jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kegiatan membeli loteri haram di tepi jalan di City Square, Jalan Pending sekitar 2.45 petang, 2 Oktober lepas.
Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, sepasukan polis telah melakukan intipan di kaki lima sebuah premis dan berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan penjualan loteri awam tanpa lesen serta merampas dua buah telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM65.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membeli loteri awam yang tidak sah dan telefon pintar yang dirampas juga didapati digunakan untuk membeli loteri berkenaan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspector Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.