Belia 10 negara Asean berkampung di Kuching

KUCHING: Belia dari 10 negara Asean akan berkampung di bandar raya ini sempena Forum Usahawan Muda Asean 2019 (AYEF) pada 15 hingga 16 November ini.

Pengerusi Penganjur AYEF Khairulnizam Khalid berkata, forum itu menghimpunkan ratusan usahawan muda dari seluruh Asean untuk menyertai dialog bermaklumat.

Menurutnya, forum itu menghimpunkan belia dengan pemikiran ke hadapan dan berinspirasi tinggi serta membincangkan inovasi sosial pada era ini.

“Forum dua hari ini menampilkan tiga penceramah utama iaitu Presiden Worldclass Trade Development Berhad Datuk Seri Ahmad Kushairi Bani Hashim Al-Haj, Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Sosiobudaya Asean Kung Phoak dan Presiden Organisasi Kooperatif Asean Datuk Abdul Fattah Abdullah,” katanya.

Jelasnya, forum yang akan diadakan di Hotel Waterfront itu mempunyai empat sesi yang membincangkan mengenai inovasi sosial, ekonomi digital, pasaran milenium dan keharmonian Asean dalam perubahan zaman.

“Forum tersebut dibarisi penceramah seperti Nurul Huda Mohd Affandi, Datuk Kamil Ahmad dan Dr Jee Teck Weng. “Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual hadir selaku tetamu kehormat untuk perasmian pada forum tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Katanya lagi, tiga perjanjian memorandum persefahaman akan dimeterai melibatkan Persatuan Usahawan Sarawak (Sea) dan Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (Hipmi), Koperasi Belia Inovatif Sarawak (Kobis) dan Scape (Singapura) serta Serapi dan Unimas.

Beliau menambah, sesi bengkel dan lawatan juga akan diadakan di Magic, Borneo 744, Sarawak Energy Berhad dan Lembaga Multimedia Sarawak. Selain itu, anugerah apresiasi turut akan diadakan sempena malam budaya dan anugerah forum.