Belia harus aktif kemukakan idea

KUCHING: Seramai 64 pelajar universiti dan kolej dari seluruh Sarawak menyertai perkhemahan The Camp United selama empat hari dan tiga malam di Borneo Tropical Rainforest Resort, Miri pada 3 hingga 6 Oktober lepas.

Perkhemahan tersebut anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak dan Institusi Pembangunan Sarawak serta Kumpulan Belia Kuching.

Menurut kenyataan media, salah satu acara utama semasa kem dijalankan adalah sesi dialog belia bersama-sama Eksekutif YPS Datuk Aloysius J.Dris yang membincangkan isu semasa yang dihadapi negara dan komuniti.

Sesi dialog tersebut turut membincangkan isu penting seperti perspektif orang luar tentang Sarawak, pembangunan infrastruktur, perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kebolehpercayaan sistem pendidikan Malaysia.

Selain itu, dasar Imigresen di Sarawak dan Pendidikan Stem dan peluang kerjaya turut dibincangkan.

Dalam kenyataan itu, Aloysius menyatakan belia harus lebih aktif terlibat dalam program anjuran kerajaan supaya mana-mana isu yang dibangkitkan mendapat maklum balas daripada kerajaan.

“Saya mengingatkan belia supaya mengutarakan idea mereka dengan melakukannya sebagai satu kumpulan supaya suara mereka lebih kuat didengar oleh kerajaan,” ujarnya.

The Camp United berkisar mengenai aktiviti dan permainan yang membina dinamik pasukan untuk memupuk pemahaman yang lebih baik tentang perbezaan antara satu sama lain dan belajar cara untuk menerima serta menghormati antara satu sama lain.

Kem ini memfokuskan kepada tema seperti resolusi konflik, pemahaman dan penerimaan, empati dan komunikasi serta perpaduan dalam kepelbagaian.

Peserta juga belajar cara untuk melangkah keluar dari zon selesa untuk membina semangat dan kepercayaan pasukan dalam menghadapi tekanan, berhak bersuara dalam perspektif yang berbeza, dan mengatasi cabaran bukan sebagai individu tetapi sebagai komuniti.

Peserta kem rata-ratanya daripada pelbagai latar belakang dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, termasuk pelajar antarabangsa dari Pakistan dan Zimbabwe.

Secara keseluruhan, kem itu memberi mereka ruang yang untuk memahami diri sendiri dengan lebih baik, membina kepercayaan diri dan memupuk sikap perpaduan pelbagai kaum.

Suara Sarawak