ASAJAYA: Golongan muda perlu diberi ruang lebih besar untuk menerajui pembangunan kampung menerusi cadangan mewujudkan inisiatif ‘One CEO One Village’ yang dilihat mampu melahirkan pemimpin berkemahiran dan berwawasan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, cadangan berkenaan merupakan antara idea yang diketengahkan semasa Konvensyen Belia Desa 2026 di Shah Alam, Selangor, minggu lalu.
“Salah satu cadangan yang amat menarik perhatian saya ialah anak muda mencadangkan kepada KKDW untuk menyediakan satu platform melahirkan seorang anak muda menerusi konsep ‘One CEO One Village’.
“Ini bermaksud, seorang pemimpin muda bagi setiap kampung.
“Kita juga sebenarnya melihat potensi untuk penyertaan, penglibatan dan sumbangan golongan ini dalam usaha memajukan kawasan luar bandar khususnya kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Pertandingan P197 E-Sport Reborn PUBG Mobile 2026 di Dewan Masyarakat Asajaya Ulu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rubiah menambah, pendekatan seumpama itu juga telah dilaksanakan di beberapa negara termasuk Korea Selatan dan Jepun.
“Banyak idea yang diketengahkan minggu lalu, golongan belia muda tersebut telah menggariskan lima teras, 10 komitmen dalam memajukan kawasan luar bandar dan salah satunya adalah cadangan ‘One CEO One Village’ tersebut.
“Mereka juga meminta kita mewujudkan konsep Kampung Pintar, kemudahan Teknologi Maklumat (IT) termasuk meningkatkan kemudahan internet di kawasan luar bandar.
“Selain itu, mereka juga meminta kita melihat bagaimana anak muda perlu diberi peluang untuk menguasai bidang keusahawanan IT di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu, golongan muda kini juga mempunyai idea dan inisiatif yang mampu menyumbang kepada pembangunan kawasan luar bandar.
“Insya-Allah saya berasa golongan muda di sini juga boleh memberi sumbangan yang sama kepada kawasan Kota Samarahan, khususnya dalam usaha memajukan lagi kawasan di Asajaya dan Kota Samarahan,” tegasnya.
Untuk rekod, KKDW menggariskan lima teras dan 10 komitmen utama menerusi Resolusi Belia Desa 2035 bagi memperkukuh agenda pembangunan belia desa sebagai tonggak kemajuan negara.
Rubiah juga memberitahu, resolusi itu dirangka menerusi Konvensyen Belia Desa 2026 yang menghimpunkan pemimpin belia desa, institusi pendidikan, agensi kerajaan, pihak industri dan ahli akademik.




