“Jangan menjadi generasi yang membesar dalam sebuah negara tetapi tidak mengenali sejarah yang membentuknya.
” Itulah antara pesanan generasi terdahulu kepada generasi masa kini.
Pesanan itu wajar diberi perhatian dalam usaha memastikan golongan belia hari ini tidak melihat sejarah sekadar sebagai catatan lama yang perlu dihafal untuk peperiksaan.
Sebaliknya, sejarah perlu difahami sebagai sebahagian daripada identiti dan perjalanan kehidupan masyarakat hari ini.
Menerusi Pameran Mini Hari Malaysia 2026 di Mukah, belia mempunyai ruang untuk mendekati bahan berkaitan pembentukan Malaysia dalam suasana yang lebih terbuka dan santai.
Kehadiran golongan muda di ruang pameran bukan sekadar untuk melihat bahan yang dipamerkan, malah menjadi peluang untuk mereka berhenti seketika daripada kesibukan dunia digital dan mengenali kisah yang berlaku sebelum mereka dilahirkan.
Dalam dunia yang pantas berubah, generasi muda hari ini terdedah kepada pelbagai maklumat melalui media sosial dan platform digital.
Namun, tidak semua maklumat yang tersebar memberikan gambaran yang lengkap mengenai sesuatu peristiwa.
Oleh sebab itu, pendedahan kepada bahan sejarah yang disusun dan dipersembahkan dalam konteks yang jelas penting bagi membantu golongan belia membezakan antara fakta, pandangan dan maklumat yang tidak disahkan.
Pameran seperti ini juga boleh menjadi pencetus kepada rasa ingin tahu dalam kalangan belia.
Satu gambar boleh menimbulkan persoalan, satu dokumen boleh mendorong mereka mencari maklumat lanjut, manakala satu kisah pula boleh membuka minat untuk mengetahui bagaimana negara yang didiami hari ini terbentuk.
Peranan belia tidak seharusnya terhenti selepas mereka selesai mengunjungi pameran.
Mereka mempunyai ruang yang luas untuk menjadi penghubung antara sejarah dengan generasi akan datang melalui perkongsian pengetahuan dalam keluarga, sekolah, komuniti dan platform digital.
Lebih-lebih lagi, belia merupakan antara pengguna aktif media sosial yang mempunyai keupayaan untuk menyampaikan maklumat kepada khalayak yang lebih luas.
Jika digunakan dengan baik, platform digital boleh menjadi ruang untuk berkongsi fakta sejarah, memperkenalkan tokoh terdahulu dan menggalakkan perbincangan yang lebih sihat mengenai pembentukan Malaysia.
Pendekatan itu juga menjadikan sejarah lebih dekat dengan generasi muda tanpa menjadikannya sesuatu yang terlalu formal atau sukar difahami.
Dalam konteks Sarawak, penghayatan sejarah dalam kalangan belia turut penting kerana negeri ini mempunyai pengalaman dan perjalanan tersendiri dalam pembentukan Malaysia.
Memahami perkara itu tidak bermaksud golongan muda perlu hidup dalam masa lalu.
Sebaliknya, pengetahuan sejarah membolehkan mereka memahami bagaimana masyarakat terdahulu melalui pelbagai proses sebelum generasi hari ini menikmati kehidupan dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Pameran Hari Malaysia juga memberikan gambaran bahawa sejarah boleh dipelajari melalui pelbagai cara, bukan hanya melalui buku teks.
Bahan visual, dokumen, gambar dan penerangan yang dipamerkan mampu menjadikan sesuatu peristiwa lebih mudah difahami, khususnya oleh golongan muda.
Dalam masa yang sama, belia perlu mempunyai eberanian untuk bertanya apabila berdepan dengan fakta yang tidak difahami.
Sikap ingin tahu itu penting kerana sejarah tidak seharusnya terhenti pada tarikh dan nama, sebaliknya perlu membawa kepada pemahaman tentang sebab sesuatu peristiwa berlaku serta kesannya terhadap masyarakat.
Lebih penting, generasi muda perlu sedar bahawa mereka merupakan pewaris kepada kisah dan pengalaman generasi terdahulu.
Apabila sejarah dilupakan, hubungan antara generasi juga boleh menjadi semakin renggang kerana pengalaman masa lalu tidak lagi difahami oleh mereka yang mewarisi kehidupan hari ini.
Justeru, pameran seperti Pameran Mini Hari Malaysia 2026 boleh dilihat sebagai ruang pertemuan antara generasi, apabila bahan lama dipersembahkan kepada generasi baharu supaya kisah yang pernah berlaku tidak terputus.
Dalam pada itu, belia juga mempunyai peranan untuk membawa pengetahuan tersebut keluar daripada ruang pameran dan menjadikannya sebahagian daripada perbualan dalam kehidupan seharian.
Mereka boleh bertanya kepada ibu bapa dan datuk nenek tentang pengalaman generasi terdahulu, membaca sumber yang sahih atau berkongsi fakta sejarah yang menarik dengan rakan sebaya.
Usaha kecil seperti itu penting kerana kesedaran sejarah tidak terbentuk dalam satu hari.
Ia bermula dengan rasa ingin tahu, kemudian berkembang menjadi pengetahuan dan akhirnya membentuk kesedaran tentang identiti serta tanggungjawab sebagai generasi yang mewarisi negara.
Hari Malaysia juga tidak sepatutnya hanya diraikan dengan kibaran bendera dan program sambutan, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk generasi muda bertanya kepada diri sendiri sejauh mana mereka mengenali negara yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Kemajuan teknologi jangan sampai menjadikan generasi muda begitu dekat dengan dunia luar, tetapi semakin jauh daripada sejarah sendiri.
Hal ini kerana menjadi generasi moden tidak bermakna kita perlu melupakan masa lalu.
Justeru, untuk mengelakkan lahirnya generasi yang buta sejarah, kita perlu mengenali, memahami dan menghargai perjalanan yang membentuk Malaysia supaya generasi akan datang terus mempunyai kisah untuk diwaris.



