Belum ada kepastian dijangkiti koronavirus

SIBU: Keputusan ujian sampel darah seorang wanita warga China yang dirujuk ke Hospital Bintulu setelah disyaki dijangkiti koronavirus masih belum mendapat pengesahan dari makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, keputusan ujian itu akan mengesahkan sama ada wanita itu positif novel koronavirus atau sebaliknya.

“Keputusan itu akan diumum kepada media selepas keputusan ujian darah pesakit yang berusia 25 tahun itu dikenal pasti,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka PDP di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri mengenai kes yang disyaki koronavirus di Bintulu. Menurut kenyataan itu, sepasukan polis daripada JSJ Bintulu yang diketuai oleh Inspektor Nixon Malang, pergi ke Hospital Sibu pada jam 4.15 petang, 26 Januari lalu untuk mendapatkan pengesahan berhubung kes tersebut yang tular melalui Facebook oleh seorang wanita.

“Pasukan polis berjumpa dengan seorang doktor di unit kecemasan Hospital Bintulu dan memberitahu seorang wanita dirujuk daripada Hospital Columbia Asia kerana mengalami deman panas setelah balik dari Wuhan, China.

“Wanita tersebut diletakkan secara berasingan dan disyaki dijangkiti penyakit berkenaan,” kata kenyataan tersebut.

Wanita yang berusia 25 tahun dari Hubei, China itu bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat di Bintulu sejak dua tahun lalu.

Kenyataan itu menjelaskan wanita berkenaan pergi ke Wuhan pada 11 Januari atas urusan kerja dan lima hari kemudian, mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu sebelum terus ke Bintulu.

Pada 26 Januari lalu, pesakit itu mendapat rawatan di Hospital Columbia Asia yang mengesyaki wanita itu mengalami influenza setelah pulang dari Wuhan, China, katanya kenyataan itu lagi.

Bimbang wanita berkenaan dijangkiti novel koronavirus, pesakit itu dirujuk ke Hospital Bintulu sebelum diletakkan di wad pengasingan selama 14 hari.

Sehubungan itu Tiong berkata, Kerajaan Sarawak akan mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan Kalimantan-Sarawak untuk mengawal kemasukan orang yang disyaki dijangkiti virus itu.

“Ketua Menteri telahpun memberitahu bahawa tindakan pengawalan kemasukan melalui semua pintu masuk sempadan adalah sebagai langkah pencegahan,” tambah beliau.

Suara Sarawak