ARTIKEL

Penolong Jurulatih Kanan Kebangsaan Boling Singapura Jensen Lim ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Pyramid.

Belum ada kilauan pingat buat pasukan tenping boling negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PETALING JAYA: Tidak perlu tekan ‘butang panik’ walaupun tiada kilauan pingat buat pasukan negara pada hari kedua Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini semalam.

Jurulatih skuad remaja kebangsaan Alex Liew berkata ia adalah proses perlu dilalui barisan pemain muda negara di samping terus memberikan suntikan semangat kepada mereka.

“…kerana ada antara mereka (pemain) dari berlainan negeri, jadi untuk mengadakan latihan pusat kita perlukan masa. Dan mereka juga bawah 18 tahun, jadi masih bersekolah. Kita ambil masa seminggu untuk persiapkan mereka ke kejohanan ini.

“Sebenarnya, hari ini kita betul-betul berikan tentangan sengit, tak putus asa. Mereka sudah lakukan yang terbaik, cuma mungkin bukan hari kita tapi esok ada lagi acara. Harap ia membakar semangat mereka untuk lebih baik esok,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, Singapura mengungguli kategori beregu lelaki dan wanita, masing-masing menerusi Joshua Gaza-Aviel Chua yang melakukan 2,585 jatuhan pin untuk meraih emas kategori lelaki, manakala Jean Neo-Isabelle Wee mendominasi kategori wanita dengan 2,454 pin.

Tempat kedua bagi kategori lelaki dimenangi gandingan dari Qatar, Talal Al Marri-Ibrahim Al Moreikhi (2,571) dan Nasser Alkandari-Adel Ali dari Kuwait, ketiga dengan 2,526 jatuhan pin.

Satu lagi gandingan wanita Singapura, Ella Tan-Hazel Tan meraih pingat perak dengan 2,446 jatuhan pin manakala gangsa menjadi milik Emily Hinspeter-Emily Hart dari Australia (2,414).

Keputusan terbaik Malaysia hari ini ialah berada di tempat keempat daripada 24 pasukan bagi kategori beregu wanita menerusi Afiqah Kamilia Ali-Adelia Nur Irwan Syazalee yang mencatatkan 2,356 jatuhan pin manakala tempat kelapan daripada 40 pasukan bagi kategori beregu lelaki menerusi Ahmad Farish Danial-Wan Zarif Ikram selepas menjatuhkan 2,455 pin.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Kebangsaan Federasi Boling Singapura Jensen Lim berkata kemenangan ini pastinya membakar semangat mereka untuk terus berjuang sehingga hari terakhir selain meraih pengalaman berharga buat pemain muda.

“Kita mahu atlet muda memberi tumpuan kepada proses itu. Dan jika mereka berjaya dalam proses itu, hasilnya akan datang secara semula jadi. Jadi setiap kali keputusan datang kepada kami, ia sentiasa mengejutkan,” katanya.

Semalam, Malaysia memulakan kempen kejohanan dengan menuai dua pingat gangsa menerusi Ethan Damian Goh dalam acara individu lelaki dan Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi bagi kategori individu wanita.

Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 berlangsung pada 16 hingga 23 Jun disertai 14 pasukan antaranya Malaysia, Australia, Singapura, China, Indonesia, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Macau dan Pakistan.

– BERNAMA

BERITA LAIN

SUKMA XXI: 14,000 pelajar bentuk pasukan sorak

KUCHING: Seramai 14,000 pelajar sekolah dari sembilan bahagian membentuk pasukan sorak bagi memberi sokongan kepada atlet Sarawak yang bertanding di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI

BERITA TERBARU