Belum ada ruang untuk selesa

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenal pada 18 Mac lalu, kemudiannya disusuli PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, kita masih dikehendaki untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga 31 Ogos depan.

Malah kemungkinan besar ia akan dilanjutkan, jika mengambil kira situasi semasa, apabila negara kembali dilanda wabak Covid-19 setelah beberapa hari menunjukkan petanda positif.

Kes demi kes sejak beberapa hari kebelakangan ini memberikan peringatan penting kepada kita untuk mengambil perhatian serius, dengan menitikberatkan SOP, di samping mengelak mengunjungi lokasi yang dijangkiti atau lokasi yang berpotensi untuk dijangkiti.

Namun, sejak PKPP dikuatkuasakan dengan beberapa kelonggaran diberikan, nampaknya terdapat segelintir pihak yang cuba mengeksploitasinya, dengan ingkar SOP dan mengambil mudah beberapa peraturan yang telah ditetapkan.

Jika berlarutan, keadaan ini akan memudahkan lagi penyebaran kes baharu selepas ini.

Pemantauan rapi pihak berkuasa perlu dipergiatkan lagi dari semasa ke semasa, terutama di pintu masuk negara.

Oleh itu, kempen “Elak Sembang Dekat” yang sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan sekarang ini amatlah wajar, dalam usaha kita untuk mengelak gelombang kedua.

Kempen tersebut bertujuan untuk mendidik orang ramai agar sentiasa mengelak bersembang dengan jarak dekat, kerana titisan daripada individu lain boleh terkena tubuh orang lain sehingga jarak sejauh satu meter.

Ini kerana titisan tidak dapat disekat dan akan sampai ke tubuh orang lain dengan lebih mudah dan pantas, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai gejala.

Sembang dekat dikenali pasti sebagai antara punca gelombang kedua di beberapa buah negara di dunia.

Di samping itu, sikap tidak bertanggungjawab kontak rapat kepada pesakit Covid-19 untuk membuat ujian, juga dikenal pasti sebagai punca.

Ia biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang pulang dari luar negara mereka tidak sedar djangkiti.

Oleh itu, dalam keadaan sekarang ini, kita masih lagi dituntut untuk bekerjasama dan berganding bahu memerangi wabak ini.

Bukan hanya mengikuti segala SOP, tetapi juga bersedia untuk menjalani ujian jika merasai was-was, lebih-lebih lagi bagi kontak rapat.

Belum ada lagi ruang untuk kita berasa selesa.

PKPP yang memberi kelonggaran untuk bergerak daripada PKPB dan PKP tidak seharusnya diambil remeh.

Kita hendaklah menjadikan tempoh PKP dan PKPB sebagai panduan untuk lebih bersedia dan berhati-hati.

Ingat, ‘peperangan’ belum lagi berakhir. Selagi ada kes baharu positif, maka selagi itulah kita perlu berhati-hati sepanjang masa.

Kita tidak mahu keadaan seperti permulaan wabak Covid-19 berulang lagi dan lebih memburukkan keadaan jika berlakunya gelombang kedua.

Suara Sarawak