Belum banyak premis perniagaan beroperasi semasa PKPB

KUALA LUMPUR: Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula namun masih banyak premis perniagaan belum bersedia untuk beroperasi sepenuhnya.

Ini mungkin disebabkan mereka perlu membuat persediaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Ini dapat dilihat daripada suasana di beberapa pusat membeli-belah di ibu kota yang masih belum ‘meriah’ dengan masih banyak kedai tidak dibuka. Tinjauan Bernama di pusat beli-belah Fahrenheit88 dan Pavillion di sini mendapati hanya beberapa kedai yang sudah dibuka.

Pekerja kedai pakaian, Hasreen Ahmad, 36, berkata pihaknya tidak menjangkakan kedatangan ramai pelanggan hari ini sebaliknya hanya datang untuk membuat persiapan dalam memenuhi SOP ditetapkan.

“Hari ini rancangannya nak buat penanda di lantai bagi memastikan pelanggan berdiri dalam jarak satu meter selain membersihkan kedai dan barangan,” katanya kepada Bernama.

Pengurus Besar Peruncitan Jakel, Shafarhan Kahar, pula berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam memastikan urusan jual beli dijalankan mengikut SOP.

“Sebelum buka kedai, kami akan buat sanitasi dahulu. Dalam satu masa, hanya 250 pelanggan sahaja dibenarkan berada di bangunan ini, ” katanya.

Tinjauan Bernama juga mendapati rata-rata pusat membeli-belah menjalankan pemeriksaan suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman selain membuat pendaftaran sebelum membenarkan pelanggan masuk.

Sementara itu, pengguna pengangkutan awam juga dilihat mengamalkan jarakan sosial serta memakai pelitup separuh muka ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.

Pekerja runcit Chen Chee Yai, 23, berkata walaupun sedikit cemas untuk kembali bekerja dengan menaiki pengangkutan awam di Kuala Lumpur, persepsi itu berubah apabila melihat pematuhan SOP yang ditetapkan dalam mengekang penularan COVID-19.

“Semua pengguna melalui pemeriksaan suhu badan dulu sebelum dibenarkan masuk, jadi rasa yakin dan selamat,” katanya.

Tinjauan Bernama di pusat membeli-belah Plaza Angsana di Johor Baharu mendapati orang ramai menjaga jarakan sosial dan mematuhi SOP pihak pengurusan pusat membeli-belah.

Anggota keselamatan serta polis bantuan juga dilihat sentiasa mengawal pintu masuk dan keluar pusat membeli-belah bagi memastikan pengunjung mematuhi arahan.

Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn Bhd Imran Salleh berkata pihaknya menambah bilangan anggota keselamatan bagi PKPB dengan 37 orang, termasuk empat polis bantuan, bertugas pada satu-satu masa di pusat membeli-belah itu.

“Malah hanya ada empat pintu dari 13 pintu di Plaza Angsana yang dibuka untuk pengunjung. Kami juga mengambil suhu badan, maklumat penting seperti alamat serta nombor telefon setiap pengunjung yang memasuki pusat membeli-belah ini menerusi setiap pintu yang dibuka,” katanya sambil menambah hanya 70 peratus premis perniagaan yang beroperasi semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja Jumaat lepas, berkata kerajaan akan melaksanakan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai hari ini.– BERNAMA

Suara Sarawak