Benarkan pelajar peperiksaan ke sekolah

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) berharap pelajar kelas peperiksaan awam seperti SPM dan STPM dibenarkan kembali ke sekolah secepat mungkin.

Presidennya Adam Prakash Abdullah berkata, ini terutama setelah langkah keselamatan diambil untuk memastikan kelas peperiksaan dapat dimulakan segera.

Menurutnya, guru mempunyai perancangan strategik bagi menyediakan pelajar untuk menghadapi peperiksaan awam. “Perancangan ini akan sentiasa diganggu sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan amalan penangguhan pembukaan sesi persekolahan.

“Kami berharap ada usaha dibuat untuk pembukaan semula sesi persekolahan kerana masa interaksi bersemuka guru dengan pelajar penting untuk kejayaan pelajar,” katanya pada Ahad.

Menurutnya, perancangan rapi rapi dengan objektif ke arah pembukaan sekolah harus disediakan kerana penangguhan pembukaan sesi persekolahan akan menyebabkan lebih ramai pelajar tercicir. “Keciciran itu nanti akan mengakibatkan masalah sosial yang akan memusnahkan masa depan generasi muda negara,” jelasnya.

Adam menambah, STU mengambil maklum akan pengumuman KPM bahawa pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini. “Pengumuman itu tidak menampakkan sebarang strategi dan prosedur operasi standard yang jelas dan berkesan untuk memastikan sekolah akan dibuka pada 1 September, sekiranya kita hanya menggunakan laporan semasa kes sebagai petunjuk untuk sekolah kembali beroperasi seperti biasa.

“Setakat ini, STU juga tidak melihat kemungkinan sekolah akan dibuka pada 1 September. “Sekiranya tiada ketentuan yang jelas, berkemungkinan 2021 akan menjadi tahun PdPR sepenuh masa untuk sekolah di Malaysia,” ujarnya. Beliau menjelaskan, guru di sekolah menghadapi pelbagai tekanan dan bebanan tugas serta arahan kerja daripada pelbagai pihak selain melaksanakan PdPR.

“STU berharap semua pihak pengurusan daripada guru besar sehingga ke pejabat pendidikan daerah memberi sokongan moral dan motivasi kepada semua guru dalam keadaan sukar ini. “Kami tidak mahu sebarang tekanan yang tidak membantu tetapi membebankan para guru.

“STU sangat berharap segala pertimbangan yang diambil untuk kelangsungan pendidikan di Malaysia adalah demi keberkesanan proses pendidikan dan perolehan ilmu demi masa depan pelajar kita,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak