Bengkel Seri Sarawak boleh dinaik taraf sebagai Akademi OKU – Perais

KUCHING: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) mencadangkan agar Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) mengambil alih Bengkel Seri Sarawak untuk dijadikan sebagai Akademi Orang Kelainan Upaya (OKU).
Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, Akademi OKU itu nanti juga perlu diuruskan oleh golongan OKU sendiri.
“Ia boleh memberi pekerjaan kepada OKU dan melatih mereka untuk menjadi tenaga pengajar serta menyediakan kursus vokasional, keusahawanan termasuk pertanian yang bersesuaian dengan keperluan pekerjaan kepada pelatih OKU.
“Bagaimanapun, Kompleks Latihan OKU juga harus dibina untuk tujuan ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Rapelson lagi, ketika ini hampir semua pekerja di Bengkel Seri Sarawak adalah di bawah paras kemiskinan.
“Bagi yang berpendapatan harian mereka dibayar RM15 sehari dan bagi berpendapatan bulanan ada yang mencecah RM300 hingga RM600.
“Justeru, dengan mengambil alih dan menaik taraf bengkel ini kepada Akademi OKU kebajikan pekerja akan terjaga dan diharapkan dapat memberikan pendapatan bulanan minimum RM1,200 serta menikmati insentif dan kemudahan khas,” ujarnya.
Pada masa yang sama Rapelson juga berharap agar Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan dan meneliti cadangan tersebut.
Terdahulu, Menteri KWKPK Datuk Seri Fatimah Abdullah telah memaklumkan bahawa Pusat Latihan OKU bakal diwujudkan di Sarawak untuk memudahkan golongan tersebut melanjutkan pendidikan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun katanya, setakat ini Kementerian belum memutuskan sama ada ia bakal diwujudkan sebagai satu kompleks latihan OKU atau sekolah vokasional khas untuk OKU.
Rapelson turut memberitahu bahawa, pihaknya menyambut baik cadangan KWKPK tersebut berhubung dengan perkara berkenaan.

Suara Sarawak