Berani, yakin dan berjiwa besar

SIBU: Dia pernah menangis ketika menyertai pertandingan bercerita di sekolah rendah, saya pujuk untuk meyakinkannya sambil berseloroh, dia bayangkan penonton umpama monyet – itu kata bapa kepada penerima Anugerah Pelajaran DiRaja pada Majlis Konvokesyen UKM ke-48.

Menceritakan mengenai Ayuna Yussoff, 23, si ayah Yussoff Osman, 62, mengukir senyum gembira dengan anugerah yang diterima anaknya.

Andai kata pembaca tidak tahu apakah Anugerah Pelajaran DiRaja – ia anugerah yang diwujudkan hasil Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang ke-145 pada 6 November 1988 bertujuan memberi pengiktirafan tertinggi kepada graduan yang cemerlang dalam akademik termasuk kecemerlangan jati diri dan kecemerlangan kokurikulum.

Berbalik kepada cerita Yussof mengenai anaknya, katanya, sejak kecil Ayuna diajar untuk berani berdepan dengan masalah seperti berani menjawab apa-apa soalan guru.

“Saya suruh dia supaya angkat tangan jika guru menyoal.

Sama ada betul atau salah, tidak mengapa kerana ia proses pembelajaran.

Saya mahu Ayuna yakin kepada diri sendiri terutamanya apabila berdepan khalayak ramai,” katanya.

Malah setiap nasihat dan dorongan untuk menjadi seorang yang berani menjadi pegangan anak bongsunya apabila akhirnya dinobatkan sebagai penerima pengiktirafan tertinggi pada hari Ayuna menyarung jubah kejayaannya. Sebagai pelajar undang-undang, gadis yang memiliki senyuman manis ini mengakui rahsia kejayaannya paling utama ialah sentiasa menjaga keberkatan hubungannya dengan ibu bapa dan pensyarah termasuk sentiasa menjaga ibadahnya.

Ketika dihubungi Suara Sarawak semalam, Yussoff Osman serta isterinya Sariah @ Suria Saibon 61, termasuk semua ahli keluarga berasa begitu bangga dan gembira atas kejayaan Ayuna yang pasti mengharumkan nama Sarawak.

“Saya sudah tidak bekerja dan sebagai pesara Pusat Mel Sibu, saya sentiasa menjadikan kerjaya sebagai contoh kepada anak-anak.

“Sepanjang bekerja, saya kendalikan lebih 50 posmen dengan pelbagai ragam.

Itulah yang saya selalu ceritakan kepada Ayuna – supaya sentiasa merendahkan diri dan hormat kepada orang sekeliling.

“Jangan memilih kawan dengan mengklusterkan latar belakang.

Berkawanlah walaupun dengan penyapu sampah.

“Kita kena hormat perasaan orang lain, berjiwa besar dan tidak mengeluarkan kata yang boleh menyakitkan hati orang.

Perlu ada perasaan empati kepada orang lain,” kongsinya lagi.

Malah katanya, dia selalu menasihati Ayuna untuk sentiasa menjaga solat dan percaya dengan semua ketentuan Allah dalam segala setiap perancangan yang dilakukan.

Kata bapanya, Ayuna ada rahsia tersendiri belajar. Peliknya, pada waktu siang bakal peguam ini tidak menyentuh buku langsung sebaliknya jam 2 pagi, dia mula khusyuk belajar.

“Namun setiap kali ada peperiksaan, dia akan meminta restu saya dan ibunya. Dia juga seorang yang memang suka membaca.

“Apa-apa sahaja novel dia baca dan dalam masa setengah hari, dia dapat habiskan satu novel.

Di rumah, ada beratus-ratus koleksi novelnya,” katanya.

Sewaktu bersekolah di SMK Methodist Sibu, Ayuna merupakan pelajar aktif dalam bidang kokurikulum dan cemerlang akademik malah pernah melakar nama dalam pertandingan perbahasan peringkat negeri serta kejayaan lain dalam kokurikulum.

Kongsinya lagi, anak kesayangannya mula berjauhan dengan keluarga ketika menyambungkan pengajian asasi di Semenanjung Malaysia.

“Sebagai orang tua, kita reda mereka duduk jauh, tetapi kami sentiasa mendoakan keselamatannya.

“Satu lagi, sepanjang membesarkan semua anak, setiap ibu bapa tidak boleh berkira memberikan pendidikan dan pelajaran.

“Kita kena berkorban, kena cari wang untuk beri mereka pendidikan.

Jika sudah tahu minat dan potensi anak, kita perlu berkorban tenaga dan wang ringgit.

“Apabila di universiti, lagi besar perbelanjaan yang diperlukan.

“Malah sewaktu Ayuna di UKM, dia terpaksa pulang lewat malam berjalan kaki dari kampus. Risau akan keselamatannya, kami membeli sebuah kereta kecil untuk digunakannya.

“Masa itu saya dan isteri masih bekerja, jadi dapat buat pinjaman.

Sekurang-kurangnya kami lega kerana tidak bimbang.

“Kita kena banyak berkorban, kena cari wang lebih untuk mereka,” katanya.

Tambahnya sebagai ibu bapa, mereka juga bersedia membelanjakan wang simpanan walaupun ada pinjaman PTPTN.

“Sebab kita tidak tahu keperluan mendesak anak terutamanya berkaitan perkakas pendidikan seperti komputer riba.

Ini tanda sokongan kepada anak-anak, biar mereka bersemangat,” katanya.

Kata pemilik kedai makan terkenal YS Cafe di Kampung Nangka itu, anaknya bercita-cita membuka firma guaman sendiri dan berkhidmat untuk menabur bakti di negeri ini.

“Saya harap dia terus berjaya, berkhidmatlah untuk warga negeri ini.

Saya mengingatkannya, andai kata berjaya kelak, bantulah mereka yang memerlukan.

Jangan bongkak dan sombong,” katanya.

Ujarnya, Ayuna juga mempunyai minat dalam dunia perniagaan dan berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaan restoran keluarganya.

Hakikatnya, dalam semua kejayaan anak, restu ibu bapalah yang paling utama.

Suara Sarawak