Berbasikal satukan penduduk Gedong

AKTIVITI berbasikal semakin rancak di Gedong. Boleh dikatakan setiap hari, sama ada pagi atau petang, ramai kelibat anak muda berbasikal mengeliling kampung. Yang menariknya, aktiviti berbasikal ini bukan hanya dilakukan golongan remaja atau belia, malah turut disertai warga emas.

Pada mulanya, aktiviti berbasikal di Gedong hanya dilakukan oleh anakanak muda untuk pergi ke kedai atau ke sekolah, manakala golongan dewasa menggunakan basikal hanya untuk ke kebun dan berulang-alik ke masjid atau surau.

Bagaimanapun, mereka yang menggunakan basikal untuk aktiviti riadah sangat sedikit. Mungkin tidak sampai lima orang. Namun, jumlah itu semakin bertambah dari semasa ke semasa, apabila ramai yang teringin berbasikal apabila melihat rakan-rakan mereka melakukan aktiviti sihat itu.

Oleh itu golongan muda yang sering berbasikal menubuhkan kumpulan yang dinamakan Gedong Cycling Group (GCG) atau Grup Berbasikal Gedong pada pertengahan tahun ini.

Sejak itu aktiviti berbasikal semakin rancak sehingga mempengaruhi Adun N.26 Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais untuk mengajak anak-anak muda di Gedong berbasikal mengeliling kampung sambil meninjau kawasan dan berjumpa rakyat.

Hari demi hari, mereka yang melakukan aktiviti berbasikal kian aktif sehingga mampu menjelajah ke kawasan yang jaraknya agak jauh dari Gedong seperti ke Kampung Gumpey, Pekan Simunjan, Kepayang Ulu Simunjan, Kampung Lubuk Punggor, malah ada yang berjaya sampai ke kawasan Jambatan Batang Sadong, Sebuyau, Serian dan Kota Samarahan dan Sadong Jaya.

Mereka berbasikal ke kawasan ini bukan sahaja secara berkumpulan yang mencecah sehingga 80 hingga 100 orang, tetapi ada yang melakukan aktiviti berbasikal secara berseorangan meskipun jarak ke kawasan yang dituju sehingga 50 kilometer dari Gedong.

Meskipun, jarak perjalanan mereka masih dekat berbanding mereka yang telah berbasikal dari Lawas ke Kuching sebelum ini, namun azam pemuda Gedong untuk cemerlang dalam acara berbasikal patut dipuji dan disokong. Naroden yang turut aktif berbasikal banyak memberi galakan kepada anakanak muda supaya terus aktif berbasikal.

Malah beliau tidak pernah ketinggalan dalam aktiviti berbasikal sekiranya beliau tidak mempunyai acara rasmi yang lain. Beliau juga mampu berbasikal sehingga ke kawasan jauh dari Gedong seperti Gumpey, Simunjan, Kepayang Ulu Simunjan dan ke Lubuk Punggor yang jauhnya 50 kilometer secara ulang-alik.

“Aktiviti berbasikal memang seronok, lebih-lebih lagi apabila aktiviti ini dilakukan dalam kumpulan yang ramai sehingga kawasan yang jauh terasa dekat dan mudah untuk sampai. “Aktiviti berbasikal bukan sahaja baik untuk kesihatan dan kecerdasan fikiran, malah aktiviti ini juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk terutama golongan belia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Naroden, lebih membanggakan lagi ialah perubahan pembangunan seperti kemudahan jalan raya yang semuanya telah berturap dan lebih sempurna di kawasan Gedong membolehkan aktiviti berbasikal diadakan tanpa sebarang masalah dan halangan.

“Sehubungan itu pemuda Gedong akan mengadakan aktiviti berbasikal sejauh 50 kilometer dari GedongJambatan Batang Sadong hingga ke Kampung Ensenge Melayu pada 9 Januari 2021,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda PBB N.26 Gedong, Jamil Abong berkata, program berbasikal adalah aktiviti yang baik untuk kesihatan. Katanya, peserta berbasikal merupakan mereka yang prihatin dengan kesihatan dan gaya hidup sihat, malah berbasikal juga dapat mengurangkan tekanan.

“Berbasikal dapat mengeratkan silaturrahim seperti moto Gedong Cycling Group (GCG), Brotherhood and Respect dengan melibatkan ramai anggota masyarakat. Menurutnya, berbasikal boleh dikembangkan kepada riadah keluarga dengan penyertaan semua ahli keluarga. “Mereka boleh mengambil bahagian dan ini menjadikan ia sebagai suatu aktiviti keluarga yang menarik.

“Saya mewakili semua anak-anak muda di Gedong merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Datuk Naroden kerana sentiasa menggalakkan aktiviti berbasikal di Gedong,” katanya. Seorang lagi peserta berbasikal, Mohd Pelihan Ojer berkata, aktiviti berbasikal cukup menyeronokkan.

Katanya, ini kerana dengan aktiviti berbasikal peserta dapat berkumpul dan mewujudkan kenalan baharu dalam masyarakat.

Malah ia juga dapat menghindarkan seseorang daripada beberapa penyakit berbahaya dan boleh membantu melangsingkan badan, mengurangkan kolestrol dan menguatkan minda.

Ia juga membolehkan peserta menikmati keindahan alam semula jadi yang masih banyak terdapat di kawasan Gedong terutama di Ulu Simunjan dan Pangkor.