
PERTANDINGAN Badminton Beregu Novis dan Veteran N.24 Sadong Jaya 2022 melabuhkan tirainya Ahad lalu, menyaksikan penguasaan hebat regu pilihan.
Pasangan Jonathan Jong Yao Zhu dan Aznor Afiq Mohammad muncul juara kategori Novis.
Mereka menumpaskan gandingan Tan Yong Soon dan Wong Teck Chung selaku naib juara dengan saingan tidak sampai ke penghujung.
Ia ekoran salah seorang pemain beregu lawan menarik diri pada awal set kedua akibat kecederaan.
Jonathan Jong Yao Zhu dan Aznor Afiq Mohammad menang mudah pada set pertama (21-16) pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Komuniti Sadong Jaya.
Sementara itu, dua lagi beregu iaitu Aizat Nabil Edward/Muhaizam Mohamad dan Yusri Azmi Yusuf/ Mohamad Faisal Johan yang tewas di peringkat separuh akhir sekadar berpuas hati di tempat ketiga bersama.
Juara kategori veteran pula milik pasangan William Jogat/Fleming Micheal yang mudah menumpaskan gandingan Lee Soon Tiong/Kamil Ibrahim (21-13, 21-18).
Dalam pada itu, gandingan Halikul Lenando/Rosli Buang dan Yong Hua Soon/Chew Hua Leong yang tewas di peringkat separuh akhir menduduki tempat ketiga bersama.
Bagi kategori wanita, juara milik pasangan Gladys Tan Ru Gian/Jee Yu Fei yang mudah menumpaskan Immanlany Jose Tan/Cassandra Hazel di tempat kedua (21-16, 21-9).
Dua lagi beregu, Michelle Tan/ Jacqualin Jeinoster dan Junica Alicia Rut/Adaline Langit sekadar berpuas hati menduduki tempat ketiga bersama selepas tewas di peringkat separuh akhir.
Juara setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM1,000 beserta pingat.
Manakala, wang tunai RM500 dan pingat untuk naib juara bagi setiap kategori.
Wang tunai RM250 beserta pingat masing-masing bagi pemenang tempat ketiga bersama.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Ir Aidel Lariwoo merangkap.
Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Sadong Jaya Kaunselar Mutalib Julaihi dan Presiden Persatuan Badminton Bahagian Samarahan (PerBas), Bong Chung Chok antara yang turut hadir.
Sebanyak 84 beregu menyertai kejohanan selama dua hari itu (11 dan 12 Jun) lalu anjuran PerBas itu.