
KUCHING: Setiap beg darah yang diterima menerusi program derma darah boleh menyelamatkan tiga nyawa pesakit, kata Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Lintang Sih Hua Tong.
Beliau merangkap Timbalan Setiausaha Agung SUPP itu berkata, besar harapan untuk melihat lebih ramai orang terlibat dalam membantu pihak hospital membekalkan darah yang cukup.
“Oleh itu, saya puji tindakan persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) seperti Sukarelawan Jalanan Sarawak (SJS) tampil ke hadapan membantu mengadakan program derma darah seperti ini.
“Ia penting untuk mendedahkan kepentingan, sekali gus mewujudkan masyarakat yang prihatin terhadap keperluan derma darah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune semasa menghadiri Program Derma Darah di Pusat Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, hari ini.
Sementara, Pegawai Perubatan Tabung Darah Dr Siti Rashidah Abu Bakar mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 70 beg darah digunakan dalam masa satu hari di HUS sahaja.
Justeru katanya, pihak hospital sememangnya memerlukan sokongan berterusan daripada penderma kerana jumlah yang dinyatakan belum termasuk penggunaan di luar HUS.
“Setakat 27 Januari, kita mempunyai 677 bekalan darah dan angka tersebut sentiasa dikemas kini setiap hari. Jadi, melihat kepada penggunaan harian (70 beg satu hari), jumlah yang dimiliki boleh habis dalam tempoh beberapa hari sahaja.
“Oleh itu, kita sentiasa buat kempen dan sebagainya untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi, begitu juga usaha oleh pihak SJS dan seumpamanya.
