Bergerak maju, kuasai ekonomi digital

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bersama-sama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menandatangani MoU, semalam.

MoU itu bagi membantu pengusaha PKS di Sarawak terutamanya aspek sokongan supaya terus bergerak maju dan mengambil bahagian dalam transformasi ekonomi digital. Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, kerjasama berkenaan bertujuan menerokai bidang latihan, perundingan dan bimbingan teknikal dalam usaha meningkatkan produktiviti serta kualiti organisasi melalui pendekatan maya.

“MoU ini juga untuk memperkukuhkan kerjasama sedia ada antara MPC dengan SEDC melalui pelbagai program yang disokong kuat oleh SEDC dan anak-anak syarikat di bawah kendalian mereka.

“Kita memberi penekanan dalam produk sektor makanan agro termasuk pelancongan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis MoU di Dewan Asajaya, Tingkat 1, Hotel Grand Margherita, di sini semalam. Tambahnya, Malaysia terkesan dengan Covid-19 dan sudah pasti banyak perubahan yang perlu dilakukan susulan krisis kesihatan global itu.

“Salah satu daripadanya adalah menjalankan program dalam talian seperti inisiatif Sarawak Digital Ekonomi termasuk Sarawak Pay dan Helpy.

“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif tersebut dan semua perkara kini boleh dilakukan dalam talian,” jelasnya.

Abdul Latif percaya menerusi MoU tersebut, ia bukan permulaan untuk kerjasama kedua-dua organisasi itu tetapi menjadi pendorong dan pemangkin bagi meningkatkan kerjasama sedia ada.

MoU itu ditandatangani Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir dan Pengarah MPC Sarawak Sarimah Misman.

Hadir sama untuk menyaksikan majlis tersebut adalah Ahli Lembaga Pengarah MPC Sarawak Datuk Abang Karim Tun Abang Openg; Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain; Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Seman; Timbalan Pengurus Besar SEDC Rakayah Hamdan serta wakil yang lain.