Bergilir-gilir ke sekolah

SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) menetapkan semua sesi persekolahan di Sibu yang akan bermula hari ini akan dilaksanakan mengikut kaedah penggiliran.

JPBBS dalam satu kenyataannya semalam berkata, mesyuarat yang telah diadakan pada 31 Mac dan Sabtu lalu dipengerusikan oleh penyelarasnya Dr Annuar Rapaee adalah untuk membincangkan pembukaan sekolah selepas cuti pertengahan penggal dan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 di semua sekolah Bahagian Sibu.

Mesyuarat itu ujar jurucakapnya, turut dihadiri Pemangku Residen Sibu, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Pengerusi PPSMS Sibu, Wakil KGBS, Wakil MGB, Pengerusi SCTA Sibu, Pengerusi STU Sibu, Pengerusi SDEA Sibu dan pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Sibu.

“JPBBS telah memutuskan bahawa untuk sekolah menengah, pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dilaksanakan sepenuhnya untuk murid Tingkatan 4, 5 dan 6 manakala untuk murid tingkatan lain dilaksanakan secara bergilir iaitu Tingkatan Peralihan dan Tingkatan 3 akan hadir pada minggu pertama dan minggu ketiga manakala Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 akan hadir pada minggu kedua dan minggu keempat.

“Bagi sekolah rendah pula, murid Tahun 4, 5 dan 6 akan hadir ke sekolah pada Isnin, Rabu dan Jumaat manakala murid prasekolah, Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 akan hadir ke sekolah pada Selasa dan Khamis sahaja,” katanya.

Jurucakapnya berkata, ia dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan di sekolah dan mencegah penularan Covid-19. Beliau berkata, keputusan itu akan dikaji semula dalam tempoh sebulan berdasarkan keadaan risiko penularan penyakit tersebut.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa SOP untuk kes Covid-19 di sekolah adalah penutupan sekolah selama tiga hari untuk aktiviti disinfeksi/ nyahkuman dan siasatan penularan jangkitan Covid-19.

“Kontak kes di sekolah tersebut akan disaring dan diarah untuk pengasingan atau dikuarantin selama 14 hari. “Bagaimanapun, pembelajaran dan pengajaran untuk murid tersebut masih diteruskan melalui dalam talian. “Bagi guru dan murid bukan kontak kes, mereka boleh hadir ke sekolah seperti biasa selepas tiga hari penutupan sekolah tersebut,” jelas beliau.

Jurucakap JPBBS berkata, pembelajaran dan pengajaran bersemuka di sekolah telah bermula pada 15 Mac lalu untuk semua sekolah di Bahagian Sibu kecuali 10 sekolah rendah yang berada dalam lingkungan zon merah yang masih meneruskan Pembelajaran dan Pengajaran dari Rumah (PdPR). Sesi persekolahan secara bersemuka tiga sekolah rendah dalam tempoh dua minggu lepas telah ditangguh dan digantikan dengan PdPR, ujarnya.

Suara Sarawak