Berhati-hati ketika melalui jejambat Batu 4, Kuching

KUCHING: Keadaan trafik di jejambat Batu 4, Kuching menghala ke Serian lebih lancar setelah satu lorong dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 27 Mei lalu.

Tinjauan selama lima hari yang dijalankan oleh pasukan pengurusan trafik Unit Lebuh Raya Pan Borneo, Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS) ketika waktu puncak pada hari bekerja sebelum ini sesak kelihatan berkurangan dari arah Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan menuju ke Serian.

Menurut Pengurus Projek Pakej Kontrak Kerja 02 (WPC02) Pejabat Zon Selatan Unit Lebuhraya Pan Borneo, JKRS, Chee Yuann Foong, pihak kontraktor masih menjalankan kerja-kerja akhir pada satu lagi lorong.

Lantaran itu, beliau menasihati orang ramai untuk memandu secara berhati-hati dan mematuhi had laju ketika menggunakan jejambat berkenaan.

“Untuk makluman, laluan dari Serian ke Bandar Raya Kuching di jejambat yang sama telah dibuka kepada umum pada Mac lepas.

“Pengguna jalan raya juga diminta untuk berhati-hati semasa memandu di laluan berkenaan semasa tempoh kerja tersebut sedang dijalankan dan mematuhi segala pengurusan trafik untuk keselamatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sebarang aduan atau pertanyaan lanjut berkaitan aliran trafik tersebut, orang ramai boleh menghubungi Unit Lebuh raya Pan Borneo Sarawak, JKRS di talian 082-230879 atau Audi Munir (PM) ditalian 016 – 879 2057 dan Isin Senada (TMO) di talian 017-850 4026.

Suara Sarawak