Berhemah di jalan raya menjelang perayaan Krismas

KUCHING: Berbaki tiga hari lagi, penganut Kristian di seluruh dunia meraikan perayaan Krismas dan tidak terkecuali di Sarawak.

Bagi penganut agama lain pula, ia merupakan cuti umum dan pastinya banyak rancangan diatur bersama keluarga.

Bagaimanapun, dalam kemeriahan pada musim perayaan dan cuti sekolah, para pengguna jalan raya dinasihatkan untuk lebih berhati-hati di jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, para pengguna jalan raya harus mematuhi had laju yang telah ditetapkan semasa memandu.

“Ini bermakna kita sebagai pemandu harus mematuhi had laju yang dibenarkan di jalan itu.

“Contohnya, had laju di Jalan Persekutuan adalah 90 km/jam, bermakna kita tidak boleh memandu dengan lebih laju daripada itu,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.

Selain itu, Alexson mengharapkan semua pengguna jalan raya mematuhi papan tanda dan panduan lalu lintas yang ada di kiri dan kanan di atas jalan raya.

“Ini kerana kita sebagai pemandu kena tahu dan faham akan makna papan tanda yang diletakkan di kiri dan kanan jalanraya.

“Ia adalah papan tanda isyarat lalu lintas kepada pemandu untuk mengetahui keadaan jalan yang akan kita lalui di hadapan,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan agar pemandu tidak memandu perlahan di lorong sebelah kanan.

“Ini kerana lorong kanan di jalan sehala yang mengandungi dua lorong sehala adalah untuk kenderaan bergerak laju.

“Selain itu, lorong kanan ini juga adalah untuk kenderaan memotong kenderaan lain dan bukan untuk kenderaan yang bergerak perlahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau melarang pemandu di belakang mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat.

“Ini penting supaya kita ada ruang di hadapan untuk membrek sekiranya sesuatu kejadian kecemasan berlaku di hadapan dan kita tidak melanggar belakang kenderaan atau objek yang berada di hadapan.

“Justeru, para pemandu harus mematuhi arahan-arahan pihak berkuasa yang mengawal lalu lintas (jika terjumpa di sepanjang perjalanan).

“Ini penting bagi memastikan keselamatan diri kita dan juga keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.

Alexson juga menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan bertimbang rasa kepada pengguna jalan raya yang lain agar sama-sama selamat sampai ke destinasi.

Beliau turut memberitahu agar para pengguna jalan raya yang ingin balik ke kampung untuk pemeriksaan keadaan kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan pada jarak jauh.

“Rancang jadual serta masa perjalanan dan sekiranya dalam keadaan yang letih juga mengantuk, cuba ambil masa rehat sekurang-kurangnya 15 minit atau ganti pemandu.

“Aturkan pemandu kedua atau pemandu gantian jika jarak perjalanan yang jauh,” katanya lagi.

Pengguna jalan raya juga dinasihati agar tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memakai tali pinggang kalendar dan jangan memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol.