Berhentilah bakar tanah anda

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri semalam mengumumkan pasukan petugas khas ditubuh bagi membantu menangani masalah kebakaran tanah gambut dan jerebu pada musim kemarau yang kini dijangka berterusan sehingga Oktober ini.

Pasukan petugas terlibat terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Pertanian. Menteri Pengangkutan Lee Kim Shin memaklumkan, laporan diterima daripada bomba memaklumkan terdapat insiden kebakaran dilaporkan di beberapa lokasi seperti Tudan Fasa 4, Tudan Fasa 5, Kuala Baram dan Taman Tunku yang merupakan penyumbang kepada jerebu sejak beberapa hari ini.

“Kami juga dimaklumkan masa ini, permit pembakaran dihentikan. “Malah rondaan turut dilakukan bersama-sama dengan Jabatan Alam Sekitar selain pemantauan melalui teknologi dron yang dilakukan sejak bulan Jun yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian di Pejabat Residen Bahagian di Miri, kelmarin.

“Semua agensi berkenaan dipohon untuk menguatkuasakan kawalan dan rondaan khususnya di kawasan kerap berlaku kebakaran di samping mewujudkan pos kawalan bagi tujuan pemantauan.

“Pemilik tanah hendaklah memastikan tanah mereka tidak dicerobohi orang luar yang melakukan pembakaran bagi tujuan berkebun”, katanya.

“Jabatan Tanah dan Ukur akan melakukan penguatkuasaan di tanah lapang kepunyaan kerajaan malah penguat kuasa juga mengaktifkan pasukan rondaan yang akan dibantu oleh agensi berkenaan.

“Manakala Jabatan Pertanian pula perlulah memastikan semua pekebun tidak melakukan pembakaran kerana maklumat terkini Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan tempoh kemarau dijangka berlaku bermula bulan Ogos hingga Oktober ini,” ujarnya.

Fenomena kemarau dan jumlah hujan yang rendah merupakan punca utama kepada kebakaran belukar dan tanah gambut di Miri.

Menurut Kom Shin, insiden kebakaran tanah gambut dan fenomena jerebu bukanlah satu perkara baharu. Malah ia berlarutan lebih 10 tahun lepas meskipun tindakan penguatkuasaan, amaran serta kompaun telah dilaksanakan.

“Kita memohon kepada orang ramai agar bersama-sama memastikan Miri bebas daripada pencemaran udara akibat jerebu dan kebakaran belukar atau tanah gambut yang sememangnya memberikan impak kepada kesihatan manusia seperti masalah pernafasan, batuk, sakit tekak, mata merah atau berair dan asma,”ujarnya.

Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Suara Sarawak