Beri bantuan RM300 untuk OKU

KUCHING: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) memohon agar Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan RM300 kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, dalam membantu golongan OKU, bantuan tersebut amat diperlukan seperti yang diperkenalkan pada tahun lepas.
“Justeru, moratorium juga haruslah diberikan secara automatik tanpa memohon selama enam bulan bagi membantu golongan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Di peringkat negeri Sarawak pula, Raphelson turut memohon Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dipertimbang untuk dilanjutkan kepada golongan B40 lebih-lebih lagi untuk golongan OKU dan ibu tunggal untuk tempoh enam bulan.
“Perais juga berhasrat agar Kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk memberikan ‘one off’ RM500 bagi membantu golongan ini di samping memperincikan geran khas untuk persatuan dan kelab OKU.
“Ini termasuk geran khas perniagaan dan ekonomi bagi membantu peniaga OKU yang terjejas lebih-lebih peniaga OKU bagi mengelakkan peniaga OKU gulung tikar. “Manakala perniagaan refleksologi OKU penglihatan haruslah dikategorikan sebagai rawatan tradisional dan bukannya hiburan,” ujar beliau.
Beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memberi peluang pekerjaan untuk OKU dalam sektor awam dari peringkat pekerjaan pengurusan sehingga ke sokongan berdasarkan kelayakan.
Mengulas mengenai pelancaran pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang dibentangkan baru-baru ini, beliau memohon agar bantuan tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan eksklusif.
Katanya, Perais menerima lanjutan Bantuan Prihatin Rakyat untuk golongan B40 dan M40 lebih-lebih kepada golongan OKU, warga emas dan ibu tunggal dan juga tambahan bantuan kebajikan bulanan di bawah JKM.
Menurutnya, kerajaan telah meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah JKM berkuat kuasa mulai bulan Januari 2021.

Suara Sarawak