Beri keutamaan kepada pengamal media

KUCHING: Persatuan Suara Pengguna Sarawak (Covas) menggesa Kerajaan Sarawak supaya turut memberi keutamaan kepada pengamal media untuk suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Presiden Covas Datuk Shamsudin Abdul Rahman berkata, ia kerana pengamal media juga terdedah kepada risiko jangkitan.

“Pengamal media di Sarawak juga berada di lapangan dan bertugas di seluruh pelosok negeri untuk melapor kes jangkitan harian.

“Malah mereka turut agresif membantu menyebarkan program dan kempen vaksinasi kebangsaan.

“Covas mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Sarawak supaya pengamal media juga diberi suntikan vaksin segera secara menyeluruh seperti petugas barisan hadapan yang lain,” katanya semalam.

Selain itu, Shamsudin berkata Covas juga berharap supaya KKM dan Kerajaan Sarawak melibatkan semua hospital swasta dalam program imuniti Covid-19 di seluruh Sarawak.

“Konsep kerjasama awam swasta ini perlu dengan turut menjadikan hospital swasta sebagai pusat tambahan vaksinasi Covid-19 kerana kakitangan hospital swasta juga terlatih.

“Usaha ini secara tidak langsung menyokong rancangan kerajaan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok di Malaysia,” katanya.

Beliau menambah dengan melibatkan hospital swasta sebagai sokongan kepada pusat vaksinasi sedia ada, ia membolehkan vaksinasi kepada seluruh rakyat Sarawak dapat dicapai menjelang Ogos, seperti yang disasarkan Kerajaan Sarawak.

Suara Sarawak